Gambar lelaki yang membakar dirinya di depan Kedutaan Israel. Foto Media Sosial

WASHINGTON – Seorang lelaki membakar diri di hadapan Kedutaan Israel di Washington DC, menurut perkhidmatan kecemasan.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 1 petang waktu tempatan pada Ahad.

Pegawai daripada Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS) memadamkan api sebelum lelaki itu dibawa ke hospital dengan kecederaan kritikal yang mengancam nyawa, lapor jabatan bomba bandar tersebut.

Jabatan Polis Washington sedang menyiasat bersama Perkhidmatan Rahsia dan pihak berkuasa yang berkaitan.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Israel berkata, lelaki itu tidak dikenali kakitangan kedutaan.

Unit pemusnah bom telah dihantar ke lokasi susulan kebimbangan mengenai kenderaan yang mencurigakan yang mungkin ada kaitan dengan individu tersebut.

Lokasi berkenaan kemudian diisytiharkan selamat selepas tiada bahan berbahaya ditemui.

Tiada kakitangan kedutaan yang cedera dalam kejadian itu, kata jurucakap kedutaan kepada New York Times.

Ia bukan kali pertama seseorang membakar diri di hadapan Kedutaan Israel di AS.

Pada bulan Disember, seorang penunjuk perasaan membakar diri mereka di hadapan konsulat Israel di negeri Georgia di AS.

Polis berkata, penunjuk perasaan menggunakan petrol, dan bendera Palestin ditemui di tempat kejadian. – Agensi