KANGAR – Faktor semulajadi iaitu cuaca panas di Perlis dan hasil usaha petani menjanjikan buah mangga harum manis yang enak.
Disebabkan cuaca yang baik, pekebun menjangkakan hasil buah yang berkualiti pada tahun ini dan tuaian dijangka boleh berlaku pada pertengahan April.
Pemborong dan pekebun buah di Kangar, Cai Bao Hua berkata, cuaca panas di Perlis pada tahun ini lebih panjang berbanding tahun lalu dan iklim itu juga bertembung dengan musim berbunga buah harum manis.
“Dengan sinaran matahari yang mencukupi, hasil nanti pastinya akan menjadi lebih harum dan manis,” katanya kepada Kwong Wah Yit Poh.
Katanya, walaupun faktor cuaca memainkan peranan, tetapi pekebun masih perlu turun padang setiap hari bagi memastikan hasil tuaian yang lumayan.
Katanya, kerja-kerja di kebun termasuk mencantas dahan, membaja tanah, menyiram pokok dan memotong rumput bagi memastikan hasil yang baik.
Seorang lagi pekebun, Yao Shu Ling berkata, petani perlu menjaga nama baik hasil Perlis dan hanya memasarkan buah yang terbaik kepada pelanggan.
Katanya, pekebun perlu bersabar dan teliti bukan sahaja untuk memastikan tumbesaran pokok dan buah, tetapi juga dalam menjaga kualiti menyeluruh.
Ujarnya, selepas menuai, dia akan memeriksa setiap buah, supaya hanya buah yang tidak berbintik hitam dan mempunyai kulit yang baik dipasarkan bagi memastikan kepuasan pelanggan.
“Pelanggan kami adalah dari dalam dan luar negara. Ada juga yang sanggup membeli dan menghantar kepada saudara-mara di England.
“Untuk memastikan sokongan pelanggan yang berpanjangan, kami perlu menjaga pokok dengan baik dan membalut buah semasa kecil lagi untuk mengelakkan serangan serangga,” katanya. – MalaysiaGazette