Mekanik warga emas maut dirempuh lori dua tan semasa membaiki sebuah lori lain yang rosak di Lebuhraya PLUS berhampiran susur mausk Tol Sungai Buaya Hulu Selangor hari ini.- Gambar ihsan IPD Hulu Selangor.

KUALA LUMPUR – Seorang mekanik yang sedang membaiki sebuah lori rosak di tepi jalan maut apabila dirempuh sebuah lori dalam satu nahas berhampiran Sungai Buaya, Hulu Selangor hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, kejadian berlaku pukul 3.45 petang di Kilometer 434.8 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) berhampiran susur keluar ke Sungai Buaya.

Siasatan awal pasukan trafik mendapati kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah lori jenis Isuzu seberat dua tan, kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm dipandu warga emas berusia 68 tahun dan sebuah lori jenis Isuzu Roro.

“Siasatan polis di lokasi mendapati penumpang Mitsubishi yang merupakan mekanik sedang membaiki lori Isuzu Roro yang mengalami kerosakan yang diletakkan di tepi lebuh raya tersebut.

“Tiba-tiba datang lori jenis Isuzu seberat dua tan yang dipandu lelaki tempatan bersama dua kelindannya hilang kawalan dan merempuh kuat di belakang kenderaan pacuan empat roda yang diberhentikan di belakang lori rosak tersebut.

“Rempuhan kuat itu mengakibatkan mekanik yang sedang berdiri di hadapan kenderaan pacuan empat roda turut dilanggar sebelum mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Ahmad Faizal, mangsa yang dikenal pasti  seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi nahas itu manakala pemandu lori yang merupakan seorang warga tempatan berusia 39 tahun mengalami kecederaan di kepala dan di badan.

Mangsa dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut manakala dua kelindannya sekadar mengalami kecederaan ringan.

“Mayat penumpang pacuan empat roda akan menjalani proses bedah siasat di Hospital Kuala Kubu Bharu bagi menentukan punca kematiannya,” katanya.

Polis sedang menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.

“Pihak polis meminta kerjasama orang ramai atau saksi yang mempunyai pengetahuan mengenai insiden berkenaan untuk tampil segera menyalurkan maklumat berkaitan kemalangan terbabit bagi membantu siasatan lanjut,” katanya. -MalaysiaGazette