Muhammad Firdaus (kiri) menunjukkan antara 125 kenderaan disalahgunakan pemandu warga asing (Pewa) yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka dalam operasi Op Pewa selama sebulan sempena Tahun Baharu Cina berakhir malam tadi.

MELAKA – Sebanyak 125 kenderaan yang disalahgunakan pemandu warga asing (Pewa) disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka dalam operasi Op Pewa selama sebulan sempena Tahun Baharu Cina berakhir malam tadi.

Dalam operasi bermula 1 Februari lalu itu, 100 kenderaan yang disita adalah motosikal yang diubah suai menjadi roda tiga, 21 kereta dan empat lori perdagangan.

Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Shariff berkata, kesemua kenderaan terbabit didapati hanya memiliki lesen persendirian tetapi disalahguna bagi tujuan perniagaan tanpa Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL)

“Kesalahan yang dilakukan pemandu warga asing ialah tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), tiada lesen vokasional (GDL), lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, tiada insurans dan salah guna LKM iaitu kenderaan persendirian dijadikan kenderaan perkhidmatan barangan.

“Kebanyakan mereka menggunakan kenderaan itu untuk perniagaan antaranya menjual ikan, membawa peralatan mesin rumput yang mana kita memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan ketirisan hasil negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai Operasi Bersepadu bersempena dengan Tahun Baharu Cina 2024 bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Mengulas lanjut Muhammad Firdaus berkata, warga asing yang diperiksa terdiri daripada 27 Indonesia, Bangladesh (24), Myanmar (23), Rohingya (23), Pakistan (22) dan enam warga India.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata sejumlah 14,971 kenderaan diperiksa sepanjang pelaksanaan Operasi Tahun Baharu Cina 2024.

“Daripada jumlah itu, 2,266 kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan antaranya tidak memakai topi keledar dan tali pinggang keledar selain tidak mematuhi lampu isyarat.

“Kesalahan lain membawa muatan secara bahaya, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memandu di lorong kecemasan dan memotong di garisan berkembar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast