Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelaburan domestik menyumbang RM31.71 bilion, atau 47 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada tahun kewangan 2023.

Sementara itu, aset global menjana pendapatan RM35.28 bilion atau 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburannya tahun lepas.

Sebanyak RM58.97 bilion daripada RM66.99 bilion jumlah pendapatan pelaburan adalah dijana untuk simpanan konvensional dan baki RM8.02 bilion untuk simpanan Syariah.

“Simpanan Syariah memperoleh pendapatannya daripada bahagian portfolio Syariah manakala pendapatan untuk simpanan konvensional dijana oleh kedua-dua portfolio Syariah dan konvensional,” kata KWSP dalam satu kenyataan hari ini.

Dana simpanan persaraan itu berkata sehingga Disember 2023, aset pelaburan KWSP telah mencecah RM1.135 trillion yang mana 62 peratus daripadanya dilaburkan dalam pasaran domestik.

Mengenai prestasi portfolio pelaburan pada 2023, KWSP berkata kelas aset ekuiti menyumbang RM39.05 bilion selepas turun nilai kos bersih, sekali gus menyumbang 58 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan KWSP dengan pulangan pelaburan (ROI) sebanyak 8.68 peratus.

“Peningkatan pendapatan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh keuntungan modal yang lebih tinggi berikutan keadaan pasaran yang lebih baik,” katanya sambil menambah pelaburan ekuiti persendirian menjana ROI sebanyak 9.69 peratus tahun lepas.

KWSP berkata instrumen pendapatan tetap yang sebahagian besarnya Sekuriti Kerajaan Malaysia terus menjadi asas dalam mengekalkan pulangan pelaburan yang stabil.

Kelas aset itu menyumbang RM19.74 bilion atau 30 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan KWSP dan menghasilkan ROI sebanyak 4.41peratus tahun lepas.

“Pendapatan yang lebih tinggi ini adalah sejajar dengan saiz aset yang semakin besar dan disumbangkan terutamanya oleh faedah dan keuntungan masing-masing daripada bon dan sukuk,” katanya.

Hartanah dan infrastruktur meningkat lapan peratus kepada RM6.03 bilion pada 2023, mencatatkan ROI sebanyak 5.04 peratus manakala pendapatan daripada instrumen pasaran wang pula meningkat dua kali ganda dari 2022 kepada RM2.17 bilion pada 2023 seterusnya memberikan ROI sebanyak 4.93 peratus.

KWSP berkata instrumen pendapatan tetap merangkumi 46 peratus daripada aset pelaburan, manakala ekuiti terdiri daripada 42 peratus, hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang masing-masing membentuk 7 peratus dan 5 peratus daripada aset KWSP tahun lepas.

— BERNAMA