M. Kulasegaran

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang merangka akta baharu bagi meningkatkan keselamatan digital dan menangani penipuan dalam talian.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran, akta berkenaan melibatkan ketetapan pihak bank tidak boleh mengelak daripada bertanggungjawab sekiranya menjadi punca penipuan dalam talian berlaku.

“Saya berpendapat bank perlu bertanggungjawab. Pihak bank tidak boleh mengelak daripada diambil tindakan. Jika ada mana-mana bank yang telah atau sedang buat demikian, rujuklah kepada agensi yang berkenaan.

“Rang Undang-Undang (RUU) yang sedang dikaji ini akan merangkumi semua aspek termasuk yang diperkatakan YB Kota Melaka (tindakan terhadap bank dalam transaksi berkaitan penipuan dalam talian),” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Khoo Poay Tiong (Kota Melaka – PH) mengenai RUU yang kini dalam peringkat penelitian.

Sebelum itu, Kulasegaran memaklumkan sebanyak 107,716 kes jenayah scammer yang direkodkan antara 2020 hingga 2023 melibatkan jumlah kerugian RM3.2 bilion.

Dengan perkembangan itu , kerajaan tidak pernah memandang rendah isu penipuan dalam talian dengan tindakan menyeluruh terus diambil dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa bekerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi bagi mengesan nombor telefon yang didapati terbabit dengan penipuan dalam talian.

“Setakat Januari tahun ini, sebanyak 131 nombor talian ditamatkan kerana terbabit aktiviti penipuan dan 93 nombor talian meragukan telah disekat.

“Nombor berkenaan juga akan direkodkan dalam sistem semak Polis Diraja Malaysia sebagai panduan untuk orang awam membuat semakan sebelum meneruskan transaksi kewangan mereka,” kata menjawab soalan Dr Siti Mastura Muhammad (Kepala Batas -PN). – MalaysiaGazette