KUALA LUMPUR – Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat mempersoalkan langkah kerajaan yang mahu memperkenalkan Akaun Fleksibel atau Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang didakwa hanya indah khabar dari rupa.
Presidennya, Azmi Mohamad Tahir berkata, berdasarkan risikan yang dibuat, pihaknya mendapati Akaun Fleksibel ini hanya untuk bakal pencarum yang lahir pada 2010 dan perlu mencarum dua tahun sebelum pengeluaran dibuat.
“Persoalannya dari mana duit yang akan dimasukkan ke dalam Akaun Fleksibel Menteri Kewangan, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP perlu jawab segera.
“Mereka perlu menafikan atau mengiyakan kajian dan teori kami iaitu Akaun Fleksibel hanya untuk bakal pencarum yang lahir pada 2010 dan ke atas,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu Azmi bersama Presiden Global Human Rights Federation, Shashi Kumar dan Jurucakap Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gulab Jan Fazal Eladi menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan di luar pekarangan bangunan Parlimen.
Memorandum itu antara lain mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar kepada 99,335 pencarum yang terdesak dan tertekan akibat kebaikan kos sara hidup, peningkatan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta kenaikan tarif air dan elektrik.
Menurut Azmi, hasil kaji selidik pihaknya mendapati 78 peratus dari 99,335 pencarum yang menuntut pengeluaran secara bersasar mempunyai simpanan lebih RM10,000.
“Kami minta khas untuk suri rumah, ibu tunggal, bapa tunggal atau pencarum yang sudah lama tidak mencarum lebih 3 tahun yang membuat perniagaan sendiri, dibenarkan mengeluarkan kesemua akuan 1 KWSP.
“Anggaplah mereka ini sudah bersara capai 55 tahun, disebabkan simpanan mereka tidak bertambah, tiada sumbangan cuma setiap tahun dapat dividen,” katanya.
Katanya lagi, pihaknya turut menuntut agar kerajaan membenarkan pengeluar secara bersasar kepada pencarum yang masih aktif membuat caruman.
“Kita minta pengeluar minimum RM3,000 hingga maksimum RM50,000 tertakluk kepada jumlah simpanan yang ada untuk pencarum yang masih aktif,” katanya lagi. – MalaysiaGazette