Reaksi Bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selepas Mahkamah Rayuan sebulat suara melepas dan membebaskan daripada sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak ketika di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 06 MAC 2024.

PUTRAJAYA – Pasukan pendakwaan dari Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan notis rayuan untuk mengembalikan sabitan bersalah terhadap bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz berkata, Mahkamah Persekutuan dijangka mendengar rayuan itu kelak.

Semalam, Mohd Isa dilepaskan dan dibebaskan daripada sembilan pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM3.09 juta untuk pembelian hotel di Sarawak oleh Mahkamah Rayuan.

Tiga panel hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy Suppiah secara sebulat suara menerima rayuan Mohd Isa, sekaligus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Menurut Vazeer Alam ketika membacakan keputusan, pendakwaan telah mengemukakan dua naratif yang berbeza namun hakim bicara ketika itu telah gagal mempertimbangkan perkara itu.

Ketika kesalahan itu dilakukan sekitar Julai 2014 hingga Disember 2015, ketika Mohd Isa masih lagi berjawatan Pengerusi Felda.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara 54 tahun serta denda RM15.45 juta.

Mahkamah juga menetapkan penjara 18 tahun lagi andai gagal membayar denda tersebut.

Namun Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan supaya semua hukuman penjara itu berjalan serentak. – MalaysiaGazette