MELAKA – Seorang pembantu kedai maut manakala rakannya cedera selepas motosikal ditunggangi mereka terbabas dalam nahas di Jalan Syed Abdul Aziz, Banda Hilir di sini hari ini.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 7.50 pagi itu, mangsa, Nur Aqmal Danish Syamshur, 18, maut di tempat kejadian manakala rakannya, Muhammad Zulfakar Mohd Hairul, 18, yang membonceng mengalami beberapa luka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, nahas berlaku apabila mangsa dalam perjalanan dari arah Kota Laksamana menghala ke Merlimau untuk ke rumah neneknya.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Yamaha 135LC yang dinaiki terbabas dan jatuh di pembahagi jalan.
“Akibatnya, Nur Aqmal Danish meninggal dunia ditempat kejadian akibat manakala rakannya cedera,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan pegawai penyiasat di lokasi mendapati permukaan jalan ketika nahas berlaku adalah basah dan hujan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat dan siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – MalaysiaGazette