MELAKA – Zoo Melaka memperuntukkan RM4 juta untuk kerja-kerja menaik taraf kemudahan termasuk kandang haiwan yang sudah rosak bagi menarik minat pengunjung ke lokasi pelancongan itu.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron berkata, projek itu juga sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang bakal menyaksikan zoo berkenaan dilimpahi pengunjung.
“Zoo kita ini sebenarnya dah uzur, macam tahun lepas kita naik taraf sikit, tahun ini buat lagi dan begitu juga tahun depan sehingga semuanya okay.
“Setakat ini banyak yang sudah kita naik taraf termasuk kemudahan dan sekarang kita fokus pada kandang haiwan pula melibatkan bajet kira-kira RM4 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Kempen Keselamatan Rumah dan Pengedaran Bubur Lambuk Sempena Ramadan di pekarangan Kompleks Melaka Mall di sini semalam.
Mengulas lanjut, Sapiah berkata, penambahbaikan itu bagi memastikan 656 ekor haiwan daripada 320 spesies di Zoo Melaka dalam keadaan baik untuk tatapan pengunjung.
“Selain itu, kita juga dalam proses permohonan mendapatkan tiga lagi spesies baharu yang tidak pernah ada di Zoo Melaka melalui program pertukaran haiwan dengan zoo di luar negara.
“Spesiesnya kita belum boleh dedahkan namun ia melibatkan haiwan dari Indonesia selain Sabah dan Sarawak yang dijangka diperoleh tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette