MELAKA – Seorang penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) maut digilis sebuah kenderaan selepas motosikal ditunggangi dirempuh dalam nahas di simpang masuk ke Sekolah Kebangsaan Tanjung Minyak, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 9.45 pagi itu, mangsa, Dahiyah Athirah Mohd Faridgh, 22, maut ditempat kejadian selepas terperosok di bawah kenderaan pelbagai (MPV) Nissan Grand Livina dipandu guru sekolah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika itu mangsa yang bekerja sambilan di sebuah butik muslimah sedang dalam perjalanan dari arah Taman Cheng Perdana menuju ke tempat kerjanya di Cheng.
“Sebaik tiba ditempat kejadian, MPV dipandu guru wanita berusia 41 tahun itu yang datang dari arah bertentangan dikatakan tidak nampak motosikal mangsa ketika membelok ke kanan.
“Akibatnya guru terbabit tergilis mangsa menyebabkannya maut ditempat kejadian apabila terperosok di bawah MPV terbabit,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurutnya, pihak polis kemudian meminta bantuan daripada pihak bomba untuk mengeluarkan mangsa dari bawah MPV manakala guru terbabit tidak cedera namun mengalami trauma.
“Ketika kejadian, keadaan jalan adalah rata dan basah akibat hujan dan tiada rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV)
“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya. – MalaysiaGazette