Tiong King Sing

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan mengaku betapa ‘sukarnya’ untuk memahami cara kerja bosnya, Datuk Seri Tiong King Sing pada peringkat awal.

Khairul yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi itu pada awalnya menganggap cara kerja King Sing sangat ‘pantas’ dan tidak membuang masa itu sukar difahami.

Apatah lagi setiap keputusan serta tingkah laku itu sentiasa berdepan kontroversi.

Bercakap di hadapan lebih 1,000 pengamal media pada Majlis Apresiasi Media MOTAC semalam, Khairul berkata, selepas beberapa bulan, setiap yang dilakukan oleh King Sing mungkin satu keputusan yang tidak popular serta boleh dikritik namun semuanya dilakukan demi melonjakkan industri pelancongan ke peringkat lebih tinggi.

Ketika tampil di pentas itu, difahamkan Khairul sepatutnya hanya mengalu-alukan kehadiran media dan tetamu kehormat lain namun secara spontan beliau bercakap tentang keperibadian King Sing.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan Ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media MOTAC malam tadi.

“Saya tidak mahu gunakan kertas ini, baca ikut kertas. Biarlah saya cakap sesuatu dari hati tentang bos saya hari ini di hadapan anda semua. Saya susah baca guna kertas seperti ini.

“Bulan pertama dan bulan kedua, saya seperti tidak faham ‘cara’ bos saya ini. Hanya masuk bulan ketiga, saya mula faham sikit-sikit. Sekarang, alhamdulilah. Saya rasa beliau (King Sing) banyak berikan saya peluang selain mengajar saya bagaimana kita hendak naikkan potensi industri pelancongan ini ke peringkat lebih baik.

“Sebenarnya, menteri mahu melihat sesuatu perkara itu dapat diselesaikan dengan cepat, tidak mahu cakap panjang dan terus bermain tarik tali.

“Isu penting harus diselesaikan dengan kadar segera bukan hanya asyik cakap sahaja. Itulah caranya. Semua kerja kena cepat.

“Kerana itu juga ramai dalam kalangan kita agak keliru dengan cara kerja beliau. Hakikatnya beliau sangat efisien dan sangat goal oriented.

“Itulah juga mungkin menyebabkan wujudnya isu dengan beliau kerana tidak faham apa sebenarnya yang beliau mahukan,” katanya.

Kata Khairul lagi, aspirasi dan fokus King Sing cuma satu, beliau mahu memastikan industri pelancongan terus bangkit dan menjadi lebih ‘gah’ bagi memastikan ekonomi negara akan dapat diperkasakan seperti kehendak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebenarnya, King Sing hanya mahu Malaysia ini dikenali di mata dunia. Apa sebenarnya Malaysia yang begitu kaya dengan adat, resam, kepelbagaian kaum dan sebagainya. Kita mahu jual apa itu Malaysia kepada masyarakat dunia,” katanya.

Ini juga bukan kali pertama King Sing dalam dipuji sebaliknya, Perdana Menteri juga memuji Presiden PDP itu sebagai seseorang yang rajin sehingga menyebabkan umum salah sangka terhadapnya.

Majlis Apresiasi Media ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada pengamal media atas sokongan kepada MOTAC sepanjang tahun lalu selain menguar-uarkan program kementerian sepanjang tahun yang dilaksanakan jabatan serta agensi bawahnya kepada media. -MalaysiaGazette 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast