MHO bersama mangsa membuat aduan di Jabatan Peguam Negara Sarawak hari ini.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini menyerahkan aduan penipuan ‘Skim Pelaburan dan Pakej Pembinaan Hartanah’ oleh sebuah syarikat tempatan kepada Jabatan Peguam Negara Sarawak. 

Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, pihaknya telah menyerahkan 80 aduan dan berharap ada tindakan pantas bagi memastikan wujudnya perasaan gerun kepada mana-mana sindiket pelaburan seperti ini.

“75 daripada 80 aduan itu melibatkan mangsa dari Sarawak manakala selebihnya dari Semenanjung. Tangkapan dibuat dan kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dan pendakwaan harus dilakukan.

“Para pengadu gembira apabila polis membuat tangkapan tetapi yang merisaukan kita ialah apabila syarikat itu cuba mangsa-mangsa kita untuk tarik kembali laporan polis supaya mereka boleh terlepas,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas menyerahkan aduan di Jabatan Peguam Negara di Sarawak.

Syarikat itu dikatakan ‘kebal’ dan tidak ambil kisah dengan penipuan skim pelaburan yang dilakukan secara terang-terangan dengan hampir 75 peratus mangsanya rakyat Sarawak.

Ironinya, walaupun sudah ada tangkapan namun pendakwaan masih lagi mengambil masa dan ini merisaukan banyak pihak apatah lagi syarikat terbabit sedang cuba memujuk mangsa untuk menarik kembali laporan polis dibuat.

Kata Hishamuddin lagi, syarikat itu didakwa menawarkan penyelesaian kepada lebih 20 saksi pendakwaan dan cuba memujuk saksi untuk menarik semula laporan.

“Mereka tawarkan penyelesaian kepada saksi pendakwaan di mana mereka memujuk saksi menarik semula laporan polis dan akhirnya diklasifikasikan sebagai melepas tanpa dibebaskan (DNAA). Bila terjadi DNAA, ia jelas tidak adil kepada mangsa.

“Ada juga mangsa sudah nekad untuk menjadi saksi pendakwaan supaya dalang ini dapat hukuman setimpal. Kerana itu juga kita bawa kes ini sehingga ke peringkat Jabatan Peguam Negara agar tidak ada yang terlepas daripada kes ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, pihaknya juga akan menawarkan saksi-saksi yang relevan dengan 80 mangsa yang ada hari ini bagi menyerahkan surat aduan untuk menjadi saksi supaya kes tidak digugurkan.

“Kita tidak mahu wujudnya kes tarik balik laporan dan tiada DNAA. Apa yang kita mahu penipu ini perlu dituduh dan dijatuhkan hukuman,” katanya. – MalaysiaGazette