Kon Yeow (tengah) merasmikan Jelajah Saya Digital @ Pulau Pinang di Bukit Jambul di sini, hari ini.

GEORGE TOWN – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyasarkan untuk melatih sejuta usahawan dalam bidang ekonomi digital menerusi program kemahiran digital pada tahun ini.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, usaha menguasai kemahiran digital itu mampu membantu usahawan menggandakan pendapatan dalam perniagaan mereka.

Jelas beliau, pelbagai program disediakan bagi mencapai matlamat untuk rakyat menghadapi gelombang digitalisasi.

Syed Ibrahim (kiri) bercakap pada sidang media.

Antaranya e-usahawan, e-rezeki, global online workforce (glow) dan 100 go digital.

“Secara keseluruhan kita sudah latih lebih daripada setengah juta usahawan daripada seluruh negara.

“Mereka ini merupakan individu yang telah mendaftar serta mengikuti kursus-kursus yang dilakukan MDEC.

”Untuk makluman semua kursus ini kita lakukan secara percuma, jadi semua orang patut rebut peluang ini baik kerana ia memberi pelbagai manfaat,” katanya.

Beliau berkata d kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Jelajah Saya Digital @ Pulau Pinang di Kompleks Bukit Jambul di sini, hari ini.

Acara itu disempurnakan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan hadir sama Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong.

Ini merupakan siri keempat program Jelajah Saya Digital.

Dalam perkembangan lain, Syed Ibrahim berkata, sejak diwujudkan pada 2015, seramai 563,543 usahawan telah dilatih dengan menjana jualan melebihi RM1.24 bilion menerusi program e-usahawan dalam jelajah saya digital.

“MDEC turut menyediakan perkongsian mengenai cara penggunaan platform pembelajaran kendiri, chat gpt yang selari dengan inisiatif baharu diperkenalkan kerajaan iaitu ‘AI untuk rakyat’ bagi memberikan fahaman asas mengenai kecerdasan buatan (AI).

“Selain itu, seiring dengan visi Malaysia Madani di mana keterangkuman dan kesaksamaan menjadi teras utamanya, MDEC akan terus melaksanakan program-program seperti ini agar kemakmuran dan peluang yang dicipta dapat dimanfaatkan oleh lapisan masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette