PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 30 tahun dan 15 sebatan terhadap dua rakan atas kesalahan mengedar hampir 10 kilogram (kg) dadah di dalam sebuah kereta, lima tahun lepas.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan penjaga mesin eskalator Mohd Khairul Azwan Zakaria, 37, dan pengutip hutang Bhahira Fakri, 43, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 16 Feb 2023.
Hakim Hadhariah dalam penghakimannya berkat,a kegagalan memanggil pemilik kereta (Honda Accord) untuk memberi keterangan tidak mewujudkan lompang dalam kes pendakwaan kerana asid deoksiribonuklekik (DNA) dua perayu itu terdapat pada kain mereka yang berada dalam but kereta berkenaan.
“Mengikut gambar pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kereta tersebut digunakan oleh perayu-perayu selama dua hari. Oleh itu, kegagalan memanggil pemilik kereta tidak boleh membangkitkan inferens bertentangan terhadap kes pendakwaan,” katanya yang turut bersidang bersama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Noorin Badaruddin.
Prosiding itu dihadiri peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Mohd Khairul Azwan, peguam Muhammad Hafizuddin Salehuddin mewakili Bhahira dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abdul Aziz serta Ng Siew Wee.
Mengikut pertuduhan, dua lelaki itu didakwa bersama-sama mengedar 9.573 kilogram (kg) heroin dan 0.1 kg monoacetylmorphine di dalam kereta Honda Accord di kawasan parkir hadapan sebuah kedai makan di Publika 1, Jalan Dutamas 1, Solaris Dutamas di Kuala Lumpur, pada 11.40 pagi 20 Jun 2019.
Pada 16 Feb 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 15 sebatan terhadap dua lelaki itu selepas didapati bersalah mengedar hampir 10 kg dadah.
Mereka kemudian memfailkan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman tersebut di Mahkamah Rayuan. – Bernama