KUALA LANGAT – Mana-mana ibu bapa yang mempunyai masalah untuk menghantar anak ke sekolah kerana isu kewarganegaraan perlu tampil berbincang dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan sedaya upaya membantu mana-mana individu untuk mendapatkan pendidikan walaupun bukan warganegara tempatan.
“Kita sudah ada SOP dan garis panduan tentang anak-anak yang tidak mempunyai kewarganegaraan untuk ke sekolah.
“Kita sentiasa tambah baik garis panduan itu dan kita minta ibu bapa yang mempunyai masalah untuk menghantar anak-anak ke sekolah.
“Ibu bapa perlu datang ke Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk berbincang dengan kita.
“Mana yang kita boleh bantu, kita akan bantu Insya-Allah,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Menurut beliau, semua anak sama warganegara Malaysia mahupun tanpa dokumen perlu hadir ke sekolah untuk mendapatkan pendidikan
“Anak-anak mesti semua bersekolah
“Sebab itu kita akan cuba bantu selagi ada ruang dan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh KPM,” katanya lagi. – MalaysiaGazette