Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Mesyuarat Khas Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 12 SEPTEMBER 2023

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan siri jelajah yang dimaksudkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bukan jelajah gabungan itu bersama Parti Ikatan Demokratik Muda (MUDA).

Jelasnya, terdapat salah faham dalam kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan bahawa MUDA akan mengadakan siri jelajah berkenaan namum lebih kepada mengetengahkan isu rakyat.

“Itu bukan jelajah PN, panjang lebar saya terangkan (dalam sidang media) tetapi ada salah tafsir yang berlaku,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Bekas Presiden MUDA itu berkata demikian bagi mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa PN dan MUDA akan mengadakan siri jelajah seluruh Malaysia untuk memberi penerangan mengenai isu semasa yang menghimpit rakyat ketika ini.

Muhyiddin semasa sidang media selepas Konvensyen Wakil Rakyat PN berkata, MUDA akan diwakili Syed Saddiq untuk berkolaborasi sepanjang jelajah itu, yang dijangka bermula selepas Aidilfitri ini.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, beliau telah dipanggil oleh kepimpinan utama MUDA berhubung kenyataan berkenaan.

“Perkara ini saya akan bincang dengan pimpinan MUDA sebab dalam masa terdekat, pimpinan MUDA telah menghubungi saya untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan apa yang berlaku.

“Saya akur dan akan menjelaskan,” katanya.

Syed Saddiq berkata, siri jelajah tersebut perlu dikendalikan oleh platform neutral kerana ia boleh disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat dan bukannya platform politik sahaja.

“Cuma cadangannya, adalah kita gunakan platfrom neutral dimana kita boleh gembeling tenaga rakyat daripada semula lapiran masyarakat supaya ini bukan tentang MUDA dan PN, tetapi ini berkenaan nasib rakyat tidak kira parti atau platform,” katanya. – MalaysiaGazette