Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bercakap pada media selepas mengadakan Lawatan Kerja sempena Pembukaan Sekolah Sesi Akademik 2024/2025 di Sekolah Kebangsaan Saujana Putra, Kuala Langat. Foto SYADILA AMARI, 11 MAC 2024.

KUALA LANGAT – Pembukaan Sesi Persekolahan Penggal 2024/2025 yang bermula hari ini menyaksikan darjah 1 mempunyai jumlah pelajar yang paling ramai, kira-kira 97,000 murid di Selangor.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ini disusuli tingkatan 1 yang mempunyai seramai kira-kira 91,000 pelajar bagi sesi persekolahan kali ini.

“Semua sekolah ada peningkatan dan memang ada sekolah menerima lebih sedikit (pelajar).

“Jadi pendaftaran pelajar untuk darjah 1 memang tinggi.

“Ini menunjukkan dari segi komitmen kita untuk berada dalam sekolah ini tercapai,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau melakukan tinjauan dan lawatan kerjanya ke Sekolah Kebangsaan Saujana Putra di sini yang mula beroperasi sepenuhnya sempena Pembukaan Sesi Persekolahan Penggal 2024/2025.

Dalam pada itu, Fadhlina juga berkata, sesi persekolahan penggal 2024/2025 bagi kategori B di Selangor melibatkan 927,528 pelajar dari peringkat prasekolah hingga Tingkatan 5.

“Kita kena buat pelarasan dari segi kepadatan itu, barangkali menyusun kembali untuk memastikan tiada kesesakan yang keterlaluan berlaku di sekolah-sekolah.

“Jadi kita kena tetapkan juga supaya keselesaan itu dan pembelajaran yang kondusif dalam kalangan anak-anak kita,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kapisiti tenaga pengajar di sekolah ketika ini, Fadhlina berkata jumlah guru mencukupi setakat ini di seluruh negara.

“Setakat ini cukup Alhamdulillah.

“Dari semasa ke semasa kita akan pastikan isu guru ini, maknanya dipenuhi dan isu kekurangan guru dapat di tangani dengan segera,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast