SUNGAI BULOH – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) berkata sektor pembuatan negara dijangka berkembang sederhana pada separuh pertama 2024 di tengah-tengah keadaan ekonomi yang bertambah baik.
Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata, sektor itu masih mampu mendapat momentum walaupun perlahan dengan jangkaan peningkatan dalam jualan, pengeluaran, pelaburan modal, pengambilan pekerja disamping pengenduran dalam kadar faedah global dan inflasi.
“Walaupun kami menghadapi banyak cabaran pada awal 2023, menjelang separuh kedua 2023, aktiviti pembuatan mula bertambah baik,” katanya dalam pengumuman Tinjauan Persekitaran Perniagaan FMM di Wisma FMM hari ini.
Tinjauan yang dijalankan mulai 12 Jan hingga 26 Feb 2024 itu menarik 613 responden di seluruh negara.
Walaupun terdapat peningkatan, beberapa petunjuk kekal di bawah ambang keyakinan, yang mana, para responden agak berhati-hati pada separuh pertama 2024, khususnya yang melibatkan jualan tempatan serta eksport, volum pengeluaran dan penggunaan kapasiti, katanya.
Tinjauan itu menjejaki keyakinan perniagaan melalui Indeks Persekitaran Perniagaan FMM (FMM BCI) dan merangkumi prestasi sebenar pada separuh kedua 2023 serta tinjauan bagi separuh pertama 2024. Ia menunjukkan bahawa semua penunjuk berada di paras positif daripada tinjauan sebelumnya kecuali bilangan pekerja dan kos pengeluaran.
Soh berkata, majikan masih bersikap berhati-hati khususnya dalam pengambilan pekerja kerana ianya merupakan kos kekal selain kos pengeluaran yang kekal tinggi berikutan ringgit yang lebih lemah. “Seperti yang anda tahu, kos pengeluaran masih lagi memuncak disebabkan oleh kelemahan ringgit dan kos kami juga telah meningkat sehingga 37 peratus sejak dua tahun lepas,” tambahnya.
Soh ketika mengulas mengenai pertumbuhan pendapatan dan keuntungan sektor itu berkata majoriti (56 peratus) daripada responden tinjauan melihat kenaikan sehingga 10 peratus berbanding 2023. – BERNAMA