KUALA LANGAT – Sesi Persekolahan Penggal 2024/2025 bagi Kumpulan B yang bermula hari ini melibatkan lebih lima juta pelajar prasekolah hingga Tingkatan 5 di seluruh negara.
Tinjauan MalaysiaGazette hari ini di Sekolah Kebangsaan Saujana Putra, Jenjarom, di sini, hari ini mendapati, seperti kebiasaan ibu bapa akan menemani anak masing-masing khusus murid Darjah 1.
Seawal jam 6.30 pagi Jalan SP 4/1, Bandar Saujana Putra mula sesak dengan kenderaan ibu bapa menghantar anak sama ada menaiki kereta mahupun motosikal.
MalaysiaGazette difahamkan Sekolah Kebangsaan Saujana Putra boleh memuatkan seramai lebih 2,000 pelajar yang beroperasi secara dua sesi, pagi dan petang.
Lebih manis lagi apabila pembukaan sesi persekolahan itu dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang meluangkan masa lebih satu jam meninjau perjalanan hari pertama sekolah itu.
“Sebenarnya sekolah ini ditunggu-tunggu oleh ibu bapa dan masyarakat Kuala Langat
“Sekolah ini mula beroperasi sepenuhnya pada hari ini pada sesi pembukaan sekolah 2024/2025.
“Alhamdulillah akhirnya sekolah ini dapat dibuka dan beroperasi sepenuhnya secara dua sesi,” katanya.
Fadhlina juga berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedia menambah baik fasiliti Sekolah Kebangsaan Saujana Putra bagi memenuhi keperluan pelajar sekitar Kuala Langat.
“Kita berharap selepas ini dapat kita tambah baik kerana kita lihat tadi pun kapasiti 46 pelajar sekelas.
“Insya-Allah kita akan tambah baik lagi dari semasa ke semasa dan fasiliti akan digunakan sepenuhnya, semua lengkap seperti makmal, bilik musik, surau, kantin dan sebagainya.
“Insya-Allah mudah-mudahan sekolah ini dapat beroperasi dan dipermudahkan urusan ibu bapa dan anak-anak,” katanya lagi.
Sesi Persekolahan Penggal 2024/ 2025 Kumpulan B melibatkan sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya. – MalaysiaGazette