Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal

KUALA LUMPUR – Parti Warisan Sabah (Warisan) menjelaskan pihaknya fleksibel untuk bekerjasama dengan UMNO demi kepentingan rakyat Sabah.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, parti yang pernah memerintah Sabah itu tidak kisah untuk bekerjasama dengan UMNO Sabah kerana beliau pernah berada dalam parti itu selama 29 tahun.

“Jangan hanya fikir Kuala Lumpur (Persekutuan), kerana itu menjadi keutamaan kepada kita dan kerjasama ini untuk memastikan supaya setiap pentadbiran pada masa akan datang menjurus ke arah fokus mereka pastikan Sabah menjadi keutamaan kita, dan pembelaan terhadap rakyat Sabah itu menjadi keutamaan.

“Kita tidak kisah kerjasama dengan UMNO kerana kita sudah tahu, sebab saya pernah dalam UMNO 29 tahun,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata demikian menjawab pertanyaan media sama ada Warisan sudah memuktamadkan untuk bekerjasama dengan UMNO Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan berlaku tahun ini.

Januari lalu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengesahkan kedua-dua parti Sabah itu sedang bekerjasama bagi menghadapi PRN negeri berkenaan.

Kerjasama kedua-dua parti itu kata Bung Moktar akan diumumkan secara rasmi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Untuk rekod, Sabah dijadual mengadakan pilihan raya negeri tahun depan, walaupun terdapat jangkaan bahawa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mungkin akan mengadakan pilihan raya tahun ini. – MalaysiaGazette