banglo Guan Eng saw yee fung kerajaan PH bekalan gula
Saw Yee Fung

KUALA LUMPUR –  Susulan mahkamah telah memutuskan sekolah bahasa ibunda adalah berperlembagaan, isu itu dikira telah ditutup.

Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung berkata,  sesiapa yang mencetuskan perdebatan sekali lagi adalah sama dengan mencabar Perlembagaan dan keputusan Mahkamah Persekutuan.

Menurut beliau, kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh mengenai pemansuhan pendidikan pelbagai aliran dan menuntut pelaksanaan pendidikan aliran tunggal telah menyerlahkan pemikiran sempit dan kejahilannya.

Ekoran kenyataan Dr Akmal menyebabkan ia mengundang polemik apabila bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy saling bertikam lidah berhubung isu yang sama.

Ia disusuli komen Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing, R. Rajiv yang mengundang Dr Akmal untuk sesi minum kopi untuk membincangkan isu panas berkaitan sekolah pelbagai aliran.

Dr Akmal kemudiannya berkata bahawa beliau sanggup berdepan Rajiv dalam debat awam.

“Jika Rajiv berdebat dengannya, beliau akan dianggap sebagai mengakui kebolehdebatan isu berkenaan dan ini mungkin mencipta lebih banyak ruang bagi mereka yang berniat serong dan ekstremis untuk mensensasikan lagi isu berkenaan.

“Setakat ini, pemimpin pusat DAP tidak menyatakan pendiriannya terhadap kenyataan Dr Akmal mengenai pemansuhan pendidikan pelbagai aliran. Kini Rajiv pula melompat mahu berdebat secara terbuka dengan Dr Akmal tanpa menghiraukan keputusan mahkamah.

“Apakah DAP bersetuju dengan tindakannya? DAP, silalah nyatakan pendirian sama ada menyokong pendidikan pelbagai aliran atau pendidikan aliran tunggal,” kata Yee Fung.

Tegasnya, memandangkan mahkamah telah memutuskan  kewujudan sekolah pelbagai aliran adalah selaras dengan Perlembagaan, maka sebagai pemimpin politik muda yang matang, mereka harus tahu dengan jelas pendidikan bukanlah sesuatu isu yang boleh dipermainkan atau mahu dijadikan ‘drama politik’.

“Daripada menghabiskan masa mencetuskan isu-isu yang menjejaskan perpaduan negara, dengan jawatan dalam parti dan Dewan Undangan Negeri masing-masing, Akmal dan Rajiv sepatutnya memberi lebih perhatian kepada isu pekerjaan belia dan menyelia kerajaan untuk mencari penyelesaian kepada masalah seperti ketidakupayaan pendapatan golongan muda menampung kenaikan kos sara hidup, bukannya membazirkan masa untuk membahaskan sesuatu fakta,” katanya.

Yee Fung juga menegaskan, Pemuda MCA tidak akan sekali-kali bersetuju jika mana-mana ahli politik ingin menggunakan perbahasan untuk membangkitkan sentimen perkauman.

Namun, jika terdapat perdebatan mengenai sebarang isu yang boleh menggalakkan pembaharuan dan kemajuan negara, Pemuda MCA akan menjadi orang pertama yang menyertainya. – MalaysiaGazette