Dr Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Usaha untuk menjadikan Kampung Baru di sini sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) terhalang kerana dilindungi di bawah Penempatan Pertanian Melayu (MAS).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pemilikan tanah Kampung Baru di bawah MAS dilindungi dengan sekatan kepentingan, selaras dengan Akta Perbadanan Pembangunan Kampung baru 2011, Akta 733.

“Bagi saya sama ada kita mendahulukan atau tidak, kita tidak boleh buat sebarang perkara (tapak warisan dunia), melainkan dengan merujuk kepada akta ini.

“Akta ini bertujuan untuk melindungi, memelihara dan memulihara kepentingan orang Melayu dan Kampung Baru akan dipromosikan sebagai Bandar Melayu di dalam Kuala Lumpur.

“Selaras dengan akta ini, visi pelan induk pembangunan Kampung Baru 2040, Kampung Baru sebagai pusat perdagangan dan penempatan yang eksklusif di sini,” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (Pasir Salak-PN), Jamaludin Yahya dalam sidang Parlimen, hari ini.

Terdahulu Jamaludin bertanyakan hasrat kerajaan untuk mendahulukan pengiktirafan Kampung Baru sebagai kawasan penempatan orang Melayu terbesar di ibu kota sejak 1899 dan melangkau usia 125 tahun berbanding Kampung Baru Cina.

Jamaludin berkata, ia mengambil kira pertimbangan dari segi nilai estetika sejarah dan asal usul pembentukan iaitu satu-satunya kampung yang disifatkan masih bertahan di ibu kota, bahkan lokasi lain di Abdullah Hukum dan Kerinchi telah menelusuri arus pemodenan.

Dalam pada itu, Zaliha berkata, setiap perancangan akan melibatkan penyertaan bersama pemilik tanah dan semua pihak berkepentingan dengan penekanan terhadap pembangunan.

“Ia mestilah berupaya meningkatkan sosio-ekonomi bersama, dimilik dan berdaya huni di samping mengekalkan nilai persekitaran petempatan di Kuala Lumpur,” katanya.

Selain itu, Zaliha juga berkata, kerajaan dalam perancangan untuk menaiktaraf prasarana di Kampung Baru termasuk menjadikan Jalan Raja Alang sebagai Kampung Baru Shopping Street.

“Ia bertujuan untuk aktiviti perniagaan hasil tempatan orang Melayu seperti barangan seni, kraftangan dan juga barang tradisional Melayu seperti cenderamata.

“Aktiviti ini sebenarnya boleh menjadi tarikan kepada pelancong, jadi begitu juga Jalan Raja Muda Musa, yang ini kita jadikan sebagai Kampung Baru Food Heaven

“Saya ingin mengajak Yang Berhormat, kita turun ke Kampung Baru dan lihat sendiri bagaimana kita cuba mengekalkan nilai-nilai dan tradisi Melayu di sana,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast