KUALA LUMPUR – Industri minyak dan gas huluan Malaysia kekal rancak dan terus menarik pelabur atau kontraktor pengaturan petroleum (PAC) seperti yang dibuktikan menerusi penyertaan dalam pusingan bidaan petroleum sebelum ini, menurut BMI.

Syarikat penyelesaian Fitch itu berpandangan bahawa sektor huluan negara bersedia untuk mencatatkan pertumbuhan seterusnya pada 2024 apabila kerajaan terus mempromosikan blok luar pesisir untuk cari gali.

Pada 2023, Malaysia mencapai kemajuan ketara dalam segmen minyak dan gas huluan apabila Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan PAC merekodkan 21 penemuan cari gali dan dua kejayaan penilaian cari gali.

Menurut Petronas semua penemuan itu boleh menyumbang kepada lebih 1 bilion tong bersamaan minyak sumber baharu untuk Malaysia pada 2023, dengan 16 penemuan terletak di lembangan Balingian, Barat dan Luconia Tengah di Sarawak, manakala tiga lagi terletak di Sabah, tambah BMI.

“Penemuan baharu pastinya meningkatkan usaha Malaysia untuk memulihkan pengeluaran minyak dan gas yang semakin berkurangan dan boleh menyokong pengeluaran dan eksport gas asli cecair (LNG),” jelasnya menerusi nota analisis trend industri pada Khamis.

BMI turut berpendapat bahawa Petronas telah memulakan 2024 dengan baik apabila memperoleh tujuh kontrak perkongsian pengeluaran (PSC).

Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), yang menguruskan rizab minyak dan gas Malaysia, memberikan tujuh PSC untuk enam blok cari gali dan satu kluster peluang sumber ditemui (DRO) yang ditawarkan di bawah Pusingan Bidaan Malaysia 2023 (MBR 2023).

PSC baharu itu diberikan kepada Petronas, E&P Malaysia Venture Sdn Bhd (EPMV), Petroleum Sarawak Exploration & Production Sdn Bhd (PSEP), SMJ Energy Sdn Bhd, INPEX Malaysia E&P, PT Pertamina Malaysia Eksplorasi Produksi, Jadestone Energy Inc, Sarawak Shell Bhd dan E&P O&M Services Sdn Bhd.

Petronas menjangkakan kontrak itu menjana lebih RM1.3 bilion (US$277 juta) nilai pelaburan modal dalam aktiviti cari gali.

Menurut BMI secara keseluruhan, Malaysia telah menandatangani sembilan PSC pada suku pertama 2024.

Petronas juga telah melancarkan Pusingan Bidaan Malaysia 2024 (MBR 2024), menawarkan lima blok cari gali dan lima kluster DRO kepada pelabur yang berpotensi.

“Pemenang pusingan bidaan ini dijangka diumumkan pada suku ketiga 2024.

“Pelancaran pusingan bidaan petroleum berturut-turut, dengan tumpuan kepada cari gali dan pengeluaran gas asli, menunjukkan gas asli akan kekal sebagai komponen penting dalam campuran bekalan tenaga Malaysia,” jelasnya.

BMI menambah bahawa penemuan minyak dan gas baharu penting untuk menyokong jaminan tenaga jangka masa panjang Malaysia namun, masih tidak pasti sama ada semua penemuan baharu akan dibangunkan.

“Walau bagaimanapun insentif untuk membangunkan sumber minyak dan gas yang terbiar kekal tinggi, memandangkan kekukuhan berterusan harga minyak dan gas global dan unjuran meningkat bagi pertumbuhan permintaan gas asli domestik serta untuk menyokong sasaran pengeluaran minyak dan gas Malaysia sebanyak dua juta tong bersamaan minyak sehari menjelang 2025 dan seterusnya.

Gas yang terbiar ialah medan gas asli yang telah ditemui tetapi masih tidak boleh digunakan sama ada atas sebab fizikal atau ekonomi. – BERNAMA