Foto IG Police Tero.

KUALA LUMPUR – Kelab Thailand, Police Tero bakal mengadakan kem latihan pusat di Johor dalam usaha untuk terus bertambah baik sebelum saingan liga kembali bersambung.

Menerusi hantaran di media sosial kelab tersebut, mereka akan berada di Johor lebih daripada seminggu untuk mengharungi kem latihan pusat.

“Hari ini pada pagi yang gelap, para pemain dan staf Police Tero berlepas untuk mengharungi kem latihan pusat di Johor Bahru, Malaysia daripada 13 sehingga 21 Mac 2024,” jelas kenyataan tersebut.

Ketika ini saingan liga di Thailand berehat sebentar untuk memberi laluan buat aksi antarabangsa yang akan berlangsung dengan membabitkan skuad kebangsaan Thailand.

Sementara itu, latihan itu merupakan peluang untuk Police Tero memulihkan kembali prestasi sebenar pasukan tersebut.

Ini kerana prestasi semasa Police Tero jelas begitu mendukacitakan kerana mereka masih gagal meraih sebarang kemenangan selepas melalui lapan perlawanan berturut-turut.

Kemasukan bekas pengendali Selangior, Tan Cheng Hoe sebelum ini juga tidak begitu berpihak kepada pasukan tersebut apabila dua perlawanan terakhir menyaksikan Police Tero meraih satu seri serta satu kekalahan.

Kedudukan semasa di saingan Thai League 1 menyaksikan Police Tero berada di tangga ke-14 daripada 16 pasukan bertanding dengan mereka hanya memperoleh lima kemenangan sahaja daripada 21 perlawanan dilalui. – MalaysiaGazette