MUAR – Seorang remaja berusia 15 tahun lemas selepas terjatuh ke dalam kolam tadahan air di sebuah kawasan kebun kelapa sawit di Parit Shafie, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Muar, ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz dalam kenyataan berkata, ketika kejadian pada 4.57 petang itu, Muhammad Adam Aqasha Abdullah pada mulanya bermain air bersama tujuh rakannya.
Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa telah terjatuh dan cuba dibantu oleh rakan-rakannya namun usaha mereka gagal.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Pengusaha Bomba Kanan I Johar Tumin berkata, sembilan anggota bersama satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.
Menurut Johar, mayat remaja itu ditemukan pada kedalaman tiga meter dengan jarak dua meter dari tebing mangsa terjatuh selepas pihak bomba melakukan teknik pencarian permukaan. – Bernama