MELAKA – “Saya akui, mungkin kesilapan saya tak perasan ada telur lalat dalam sup daging, tapi bukanlah sebab sup itu sudah berbau kerana tiada aduan daripada pelanggan lain.
“Untuk jernihkan keadaan, anak saya pun dah pulangkan RM10 duit pelanggan berkenaan semalam,” kata peniaga sup di bazar Ramadan Taman Semabok Perdana, di sini, Samsudin Jaafar, 69.
Itu reaksinya peniaga yang lebih dikenali Pak Din ketika diminta mengulas tular dakwaan sup dijualnya itu mengandungi telur lalat selain dipaksa membeli dua bekas sedangkan hanya pelanggannya meminta satu bekas.
Peniaga itu berkata, kejadian tersebut adalah yang pertama berlaku sepanjang 25 tahun dia berniaga di pasar tani, ekspo dan bazar Ramadan seluruh negara.
“Cuma saya kesal, kenapalah perkara sekecil itu tidak dimaklumkan kepada saya pada masa itu dan perlu ditularkan sehingga ramai kenalan dan pelanggan tetap saya terkejut dengan dakwaannya itu.
“Saya akui, mungkin silap saya tak perasan ada telur lalat, tapi sup ‘gearbox’ yang dijual kepada pelanggan berkenaan tidak berbau dan masih elok.
“Harga sebekas dijual pula adalah RM10 dan bukannya RM5 seperti didakwa dan sup kosong sebekas yang diberikan anak secara tidak sengaja,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Menurut Pak Din, rentetan kejadian itu anaknya telah berjaya menghubungi pelanggan wanita berkenaan dan memulangkan semula RM10 yang dibelanjakan semalam.
“Ada juga rakan saya menawarkan khidmat guamannya untuk membawa kes ini ke mahkamah, tapi saya menolaknya kerana kes ini kecil walaupun ia amat mengganggu emosi saya.
“Cuma saya terkilan sebagai sesama umat Islam, kenapa saya diperlakukan sebegitu dan berharap kes ini jadi pengajaran kepada orang ramai supaya memilih untuk menegur cara baik dan bukannya menularkannya di media sosial,” katanya sambil menangis.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan pelanggan wanita berkenaan terkejut apabila mendapati telur lalat di dalam corong tulang daging dalam bekas sup berkenaan yang juga didakwa berbau ketika tiba di rumahnya di Johor untuk berbuka puasa. – MalaysiaGazette