KUALA LUMPUR – Perkim Bahagian Datuk Keramat menjalinkan kerjasama dengan penyanyi dan komposer Daqmie bagi menyantuni mualaf di negara ini.
Pengerusinya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, pemilihan Daqmie sebagai Duta Mualaf Perkim Datuk Keramat bertujuan untuk menarik minat lebih ramai golongan mualaf untuk terus mendalami ajaran Islam.
“Setelah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Daqmie, kami bersetuju untuk menjalin kerjasama bagi memantapkan program dakwah khususnya untuk golongan mualaf.
“Antara bentuk kerjasama itu ialah menyediakan kit pembelajaran agama dengan diselitkan unsur hiburan bagi menarik minat dan pemahanan mereka,” katanya menerusi kenyataan.
Daqmie atau nama sebenarnya, Azmee Abdul Manap pernah melakar sejarah tersendiri apabila album baharunya bertajuk Daqmie Ramadan 1445 habis dijual sebelum dilancarkan Februari lalu.
Sementara itu, ketika ditanya tentang pemilihannya sebagai Duta Mualaf, Daqmie berkata, beliau akan memberikan yang terbaik bagi membantu golongan mualaf untuk memahami Islam dengan lebih mudah.
“Ia merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang berat, namun Insya-Allah saya bersama-sama Perkim Datuk Keramat akan berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk golongan mualaf ini.
“Diharapkan usaha ini akan membantu dan menarik minat mereka untuk terus mendalami ajaran Islam yang sebenarnya,” katanya ringkas.
Mengulas lanjut, Daqmie menjelaskan, pihaknya dengan kerjasama Perkim Datuk Keramat dalam pembikinan lagu-lagu berunsur dakwah mengenai mualaf di negara ini. – MalaysiaGazette