Program Shopping Raya Yayasan PEKEMA Bersama Anak-Anak Asnaf dan Tahfiz di di Pusat Beli-Belah Mydin. Subang Jaya semalam.

KUALA LUMPUR – Yayasan PEKEMA (Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia) meraikan seramai 250 anak-anak asnaf dan tahfiz semalam dengan membawa mereka membeli-belah sebagai persiapan Hari Raya di Pusat Beli-Belah Mydin, di Subang Jaya.

Program amal yang dianjurkan secara tahunan itu menjadi antara aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan PEKEMA yang bertujuan berkongsi rezeki dan memberi kegembiraan kepada mereka yang memerlukan pada Hari Raya.

Presidennya, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, program tersebut memberi penumpuan kepada anak-anak asnaf dan tahfiz bagi berkongsi rezeki dan menyuntik kegembiraan ketika mereka menyambut perayaan.

Katanya, pihak Yayasan PEKEMA ingin berkongsi rezeki dengan menyediakan persiapan raya supaya mereka juga dapat menikmati suasana di Hari Raya pada tahun ini dengan lebih ceria dan bahagia.

“Mereka yang terdiri daripada 250 anak-anak asnaf dan tahfiz menerima sumbangan baucar bernilai RM200 setiap seorang untuk membeli kelengkapan baju raya. Program yang dijalankan Yayasan PEKEMA ini adalah sebagai satu usaha menyantuni dan membantu komuniti setempat.

“Sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan sedikit beban mereka dan menghulurkan nikmat berhari raya agar lebih bermakna serta menyemarakkan keindahan bersedeqah di bulan Ramadan, bulan yang penuh dengan keberkatan,” katanya pada Program Shopping Raya Yayasan PEKEMA Bersama Anak-Anak Asnaf dan Tahfiz, semalam.

Antara aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan PEKEMA yang bertujuan berkongsi rezeki dan memberi kegembiraan kepada mereka yang memerlukan pada Hari Raya.

Nazari berkata, anak-anak asnaf dan tahfiz yang diraikan itu terdiri daripada Persatuan Kebajikan Al Rayyan Malaysia (OKU mata), Anak-anak Kampung Lanchong, Madrasah Tahfiz Miftahul Ulum dan Sekolah Tahfiz Anak Yatim Alkitab, Kg Paya Beranang.

“Mereka yang dilibatkan dalam program ini adalah cahaya-cahaya harapan dalam komuniti kita, justeru dengan menyediakan sumbangan dan keperluan untuk menyambut hari raya, kami berharap dapat meringankan sedikit beban mereka serta memberi mereka pengalaman menyambut Hari Raya dengan lebih bermakna.

“Kita semua mempunyai tanggungjawab bersama untuk menyokong dan membantu sesama kita, terutamanya mereka yang memerlukan bantuan. Program ini adalah satu usaha kecil dari Yayasan PEKEMA untuk membawa sinar kebahagiaan dan keceriaan kepada mereka yang memerlukannya.

“Selain program shopping raya, Yayasan PEKEMA turut mengadakan majlis iftar bersama anak-anak asnaf, tahfiz dan para jemaah di Masjid Muhammadi, Kuala Lumpur,” jelasnya.

Sementara itu, turut hadir pada program tersebut adalah Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin dan isteri, Timbalan Presiden PEKEMA, Datuk Wan Sazrudeen Datuk Wan Zaid, Setiausaha PEKEMA, Ahmad Faresh Ahmad Zahid dan ahl-ahli jawatankuasa PEKEMA. – MalaysiaGazette

Mereka yang terdiri daripada 250 anak-anak asnaf dan tahfiz menerima sumbangan baucar bernilai RM200 setiap seorang untuk membeli kelengkapan baju raya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast