Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperuntukkan sebanyak RM250 juta telah diperuntukkan bagi memangkin pertumbuhan syarikat peringkat pertengahan (mid-to-growth companies) di Malaysia melalui usahasama dengan Gobi Partners, sebuah firma modal teroka pan-Asia yang mempunyai rekod prestasi pelaburan yang luas.
Usaha sama ini adalah sebahagian daripada komitmen KWSP untuk meningkatkan pelaburan dalam pasaran domestik, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pelabur terbesar dalam pasaran domestik dengan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM702.48 bilion setakat Disember 2023.
Pelaburan ini akan bertumpu kepada enam tema strategik, termasuk Penjagaan Kesihatan yang memfokuskan kepada penjagaan warga emas dan ‘silver economy’ 1; Pertanian dan Sains Makanan yang melihat kepada penambahbaikan ekosistem pengeluaran makanan; Keterangkuman Perkhidmatan Kewangan; Kemampanan dengan bertumpukan kepada peralihan tenaga; Pendidikan yang bertujuan untuk menyediakan pendidikan berkualiti; dan Infrastruktur Sosial serta lain-lain usaha yang bertepatan dengan mandat strategik KWSP.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, KWSP komited terhadap pembangunan syarikat berpotensi tinggi di Malaysia di samping menyelaraskan strategi KWSP dengan pembangunan ekosistem perlindungan sosial yang inklusif.
Komitmen ini berlandaskan mandat untuk memenuhi beberapa tema pelaburan strategik termasuk penjagaan kesihatan, dengan tumpuan kepada penjagaan warga emas dan ‘silver economy’, mencerminkan pengiktirafan KWSP terhadap kepentingan menangani keperluan penduduk yang semakin menua.
“Dalam jangka panjang, kami berharap usaha ini menyumbang kepada membina masyarakat yang berdaya tahan terhadap cabaran ekonomi dan sosial, selain memberikan pulangan yang baik untuk ahli KWSP,” katanya.
Bagi menyokong Rangka Kerja Ekonomi Madani, KWSP berusaha untuk memainkan peranan penting di samping GLIC lain dalam menyokong dan memajukan ekosistem di peringkat awal, selain melabur secara strategik dan menangani jurang kritikal yang mana KWSP boleh membantu memacu pertumbuhan syarikat-syarikat ini serta meraih pulangan larasan risiko yang baik.
Komitmen ini juga adalah usaha KWSP untuk mengukuhkan perlindungan sosial melalui pelaburan strategik dalam syarikat bersaiz sederhana yang berpotensi di Malaysia.
Pengasas dan Pengerusi Bersama Gobi Partners, Thomas G. Tsao berkata, pihaknya bangga untuk bekerjasama dengan KWSP dalam
komitmen ke arah pertumbuhan syarikat peringkat pertengahan di Malaysia.
“Tumpuan strategik kami terhadap enam tema utama menekankan dedikasi kami untuk memacu inovasi dan mencipta impak sosio-ekonomi yang berkekalan,” ujarnya. – MalaysiaGazette