Abdul Rahsid mengalami kecederaan pada tangan kiri serta bahu akibat ditimpa seketul bata yang dibaling dari tingkat atas flat dia bertugas.

BAYAN LEPAS – Seorang pengawal keselamatan cedera ditimpa seketul bata yang dipercayai dibaling dari tingkat atas sebuah flat di Lilitan Sungai Ara, di sini, semalam.

Kejadian pada jam 1.30 pagi itu menyebabkan Abdul Rashid Dahlan, 64, cedera di bahu dan tangan kiri.

Menurut Abdul Rashid, kejadian itu berlaku ketika dia sedang melakukan rondaan rutin bersendirian di kawasan parkir flat berkenaan.

“Kebetulan saya berhenti sekejap berbual dengan penduduk yang melalui kawasan itu sebelum tiba-tiba objek berat itu menimpa.

“Kejadian berlaku dengan pantas dan saya tidak pasti bata itu dibaling dari tingkat berapa cuma saya bersyukur ketika itu ada penduduk bersama.

“Dia (penduduk) yang memberikan saya rawatan awal termasuk menghubungi ambulans, jika tidak saya tak tahu apa nasib saya ketika itu,” katanya hari ini.

Tambah Abdul Rashid, dia tidak pasti bata itu dibaling oleh siapa serta dari tingkat mana namun kejadian itu memberi impak besar bagi dirinya yang sudah bergelar warga emas.

“Tindakan mereka (pelaku) itu boleh menyebabkan kehilangan nyawa sekiranya bata itu jatuh di kepala saya,” katanya sambil menambah telah membuat laporan polis berhubung kejadian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast