Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Pendedahan Datuk Farhash Wafa Salvador berhubung pegangan saham Heitech Padu melalui syarikat pelaburan Rosetta Partners Sdn. Bhd melalui perkongsian bersama dengan Sultan Kelantan dalam syarikat Mfivesouthsea Sdn. Bhd. menimbulkan banyak persoalan.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil mempersoalkan berapa peratus pegangan saham Farhash dan Sultan Kelantan dalam Rosetta Partners ini.

Katanya, berdasarkan pemfailan yang dibuat oleh Heitech Padu kepada Bursa Malaysia, nama individu pembeli dan pemilik saham 16.1 juta unit yang dinyatakan adalah nama Farhash, melalui pegangan kepentingan besar dalam Rosetta Partners.

Tidak nampak ada nama Sultan Kelantan di mana-mana dalam transaksi ini.

Jelasnya, jika orang lain selain Farhash memiliki kepentingan besar dalam Rosetta melalui mana-mana syarikat, besar kemungkinan nama orang ini akan ada dalam pemfailan tersebut dan tentunya media pun sudah lapor pada hari yang sama.

Sebaliknya, pemfailan dan deklarasi atau notis pada 13 Mac 2024 memberitahu nama pemegang saham terbesar ialah Datuk Wira Farhash Wafa Salvador.

Manakala Rosetta Partners Sdn. Bhd sebagai nama pemegang berdaftar.

Isham berkata, berdasarkan keterangan tersebut, Farhash adalah pemegang kepentingan besar dalam Rosetta Partners dalam pembelian saham Heitech Padu oleh Rosetta Partners, sekali gus menjadikan beliau pemegang saham besar Heitech Padu.

“Jika dia kata saham-saham ini pemilik utamanya adalah Sultan Kelantan, ini bukanlah fakta seperti yang dimaklumkan kepada umum dan difailkan kepada Bursa Malaysia.

“Dan mengikut undang-undang, Farhash tidak boleh guna nama orang lain atau orang lain tidak boleh guna nama dia untuk membeli saham bagi pihaknya.

“Di bawah Seksyen 25, Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan.

“Selain itu, Seksyen 29A SICDA menetapkan semua urus niaga sekuriti hanya boleh dilakukan oleh pemilik manfaat sekuriti atau penama yang dibenarkan.

“Jika Sultan Kelantan menamakan dia sebagai penama, dia perlu beritahu. Jika dia tidak beritahu dan tidak maklumkan, maksudnya sama ada ia bukanlah halnya ataupun dia telah melanggar undang-undang,” jelas Isham dalam hantaran di Facebook.

Tambahnya, dua perkara lain yang lebih penting ialah adakah Farhash mendapat maklumat dalaman bahawa Heitech Padu akan mendapat kontrak imigresen RM1 billion ini.

Jika Farhash mendapat maklumat ini dan membeli saham-saham tersebut dengan maklumat dalaman itu, maka ini adalah salah di bawah Seksyen 188 Akta Pasaran Modal dan boleh dikenakan penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM1 juta ringgit sekiranya disabit kesalahan.

Yang kedua, adalah apa-apa unsur dan elemen “undue influence” atau mempengaruhi proses perolehan kerajaan dalam kes kontrak RM1 billion ini.

Jika ada, dia boleh didakwa di bawah Akta SPRM atas kesalahan rasuah dan dipenjara, didenda dan dirotan jika sabit kesalahan, tambah Isham lagi.

Lantaran itu, Isham berkata, dalam hal-hal dan kes-kes seperti ini agensi-agensi kerajaan tidak perlu menunggu laporan daripada rakyat dahulu sebelum bertindak memandangkan kes-kes jenayah korporat seperti ini adalah komplikated, dan besar kemungkinan hanya agensi kerajaan sahaja yang boleh mendapatkan maklumat terperinci berkenaannya berbanding rakyat.

Jika kerajaan kata mereka mahu tunggu laporan daripada rakyat dulu dan baru bertindak, ia adalah sama ada suatu perkara yang salah, tidak masuk akal, sengaja atau malas.

Menurut Isham, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memberi perhatian kepada hal ini sebab ia melibatkan kawan dan kroni beliau.

Farhash adalah bekas Setiausaha politik kepada perdana menteri sebelum ini.

Isham berkata, beliau mahu melihat apa tindakan yang Anwar berkenaan kes ini, jika tiada apa-apa tindakan atau hanya memberi jawapan melepas batuk di tangga, dan alih-alih syarikat yang kroni beliau ada saham besar ini dapat kontrak RM1 billion, maka rakyat akan semakin tidak percaya kepada retorik menentang kronisme dan rasuah Anwar. – MalaysiaGazette

Pemilikan saham saya bersama Sultan Muhammad V – Farhash

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast