KUALA LUMPUR – Gastrohub Nilai kini menganjurkan Bazar Ramadan Omak Den yang diadakan sepanjang minggu kedua bulan mulia ini di mana orang ramai mula mencari destinasi untuk berbuka puasa di luar.
Apa yang menarik, menu seperti kambing terbang sos lada hitam, kari kepala ikan salmon, kari kambing berempah, masak lemak, daging salai Apollo, tetel asam pedas, nasi briyani dan gantung periuk merupakan juadah pilihan.
Pengunjung juga pasti berasa puas dan rasa berbaloi dapat berbuka puasa di sana keran lebih dari 188 menu yang tersedia.
Bagi menambahkan sinar keberkatan, Majlis Iftar Bazar Ramadan Omak Den dan Majlis Doa Selamat telah dihadiri bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri baru-baru ini.
Gastrohub muncul destinasi makanan baru yang menarik perhatian ramai setelah melangkah ke arena makanan dan minuman dengan menawarkan pelbagai pengalaman kulinari yang memikat.
Terletak di Nilai, Negeri Sembilan, Gastrohub menyediakan platform yang menyatukan pelbagai hidangan dari tradisional hingga moden bagi memenuhi citarasa pelanggan yang pelbagai.
Sepanjang Ramadan ini, Bazar Ramadan Omak Den dibuka sehingga 7 April depan bermula pukul 6 petang hingga 8.30 malam.
Harga dewasa adalah RM68 , warga emas RM50 tahun pada hari biasa manakala hari minggu dewasa RM88 manakala warga emas RM66. – MalaysiaGazette