Penjualan stoking dengan kalimah Allah di KK Mart baru-baru ini mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini.

MELAKA – Polis Melaka menerima 16 laporan polis berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka 24 jam, KK Mart yang tular baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Zainol Samah berkata, sebanyak 15 laporan dibuat orang awam manakala satu diterima daripada Exco Kerajaan Negeri.

“Semua laporan di siasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial stoking kalimah Allah yang dijual di KK Mart Bandar Sunway selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Susulan itu, pengurusan KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) memohon maaf berhubung video dan gambar tular berkaitan penjualan stoking itu di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Permohonan maaf itu bagaimanapun menimbulkan rasa tidak puas hati dalam umat Islam di negara ini dan mendesak pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas sebagai pengajaran pihak yang sering menyentuh sensitiviti agama. – MalaysiaGazette