Penyokong yang hadir sambil mengibarkan bendera Pas di Pelancaran Jentera Pilihanraya Pas Pusat pada Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 03 SEPTEMBER 2022. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pas tidak pernah bebas daripada tekanan mahu pun gangguan sejak dari dulu lagi, kata Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Malah Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga tidak terkecuali daripada menerima ujian dan cercaan, kata Timbalan Presiden Pas itu.

Namun katanya, Pas tidak sesekali mati dengan tekanan yang diberikan sebaliknya parti itu semakin berkembang.

“Pas tidak pernah bebas daripada tekanan dan gangguan. Hatta, Almarhum Tok Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pun menerima ujian dan cercaan. Banyak pimpinan dan ahli Pas di ISA kan dek kerana bersama menggerakkan perjuangan Pas.

“Sekuat mana pun ujian dan gangguan, Pas semakin membesar dan matang di persada negara. Pas sentiasa menjadi rujukan oleh kebanyakan ilmuwan.

“Tekanan yang dibuat kepada PASTI, SRITI dan SMITI kebelakangan ini mengingatkan Pas dan ahli-ahlinya erti sunnatullah dalam perjuangan yang penuh mehnah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Menurut Tuan Ibrahim, Pas sentiasa terbuka kepada saranan bagi penambahbaikan sistem pendidikan PASTI.

Katanya lagi, beliau amat berbangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh guru-guru PASTI.

“Hakikatnya, kita mengalukan sebarang saranan dan sentiasa membuka ruang penambahbaikkan. Institusi ini adalah jihad pendidikan yang dilakukan Pas untuk negara. Dengan bantuan Allah SWT, ia diterima baik kebanyakan masyarakat.

“Saya amat bersyukur dan gembira melihat guru-guru PASTI yang komited memberikan jiwa raga untuk mendidik anak-anak di PASTI. Kebajikan mereka tetap mendapat perhatian Pas,” tambahnya.- MalaysiaGazette