MELAKA – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan penjualan ganja dalam bentuk cecair rokok elektronik atau vape termasuk kepada pelajar sekolah di negeri ini susulan penahanan seorang lelaki pada Ahad lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek berusia 45 tahun bekerja sebagai penghantar barang ditahan kira-kira pukul 1.35 petang di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh arah selatan Lebuh Raya Utara Selatan.
Ketika serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Melaka, suspek yang berperanan sebagai pengedar dadah di sekitar negeri Melaka sedang berhenti berehat dalam sebuah van.
“Hasil pemeriksaan dalam van, polis menjumpai dadah jenis ganja seberat 41.28 kilogram serta 300 unit cecair ganja untuk digunakan bersama vape dianggarkan bernilai RM130,971.
“Semua dadah ini dipercayai boleh digunakan oleh seramai 206,405 orang penagih termasuk vape ganja yang disyaki turut dijual kepada pelajar sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zainol, siasatan mendapati sindiket itu dikesan mula aktif di Melaka sejak tahun lalu.
Semakan rekod mendapati, suspek mempunyai satu rekod dadah lampau di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan ujian saringan air kencingnya adalah negatif.
“Suspek direman selama tujuh hari bermula 24 hingga 30 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952,” katanya. – MalaysiaGazette