Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Tindakan Unit Penguatkuasaan Kerajaan Negeri (UPNP) menutup laluan masuk ke parkir Kafe Tanah Aina Fareena yang dibina atas tanah kerajaan pada Selasa lalu dibuat berlandaskan peraturan dan bukan sentimen seperti didakwa.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah penguatkuasaan itu mematuhi garis panduan apabila mendepani isu pencerobohan tanah.

“Untuk penguatkuasaan dia ada peraturan-peraturan tertentu seperti mengeluarkan amaran, notis, dan sebagainya.

“Oleh sebab mereka ingkar, tidak mematuhi notis dan amaran daripada Kerajaan Negeri jadi Kerajaan Negeri melalui penguatkuasa terpaksa mengambil tindakan,” katanya selepas majlis Pelancaran Memacu Kehidupan Hari Raya Aidilfitri 2024 peringkat kebangsaan anjuran Petronas di sini, semalam.

Terdahulu ada dakwaan mengatakan tindakan diambil untuk menutup periuk nasi ke atas perniagaan yang dijalankan kerana pemilik kafe tersebut lantang mengkritik aktiviti kerajaan negeri.

Pada 18 Mac lepas, kerajaan negeri telah memberi notis secara lisan berhubung tindakan menutup laluan masuk ke kafe berkenaan ekoran parkir yang dibina atas tanah milik kerajaan secara tidak sah sebelum bertindak menutupkan selepas seminggu.

Beliau yang menafikan tindakan itu diambil secara tiba-tiba berkata, peringatan telah dibarikan sebelum ini dan tiada diskriminasi berlaku dan ia boleh dilihat apabila tindakan diambil terhadap pencerobohan tanah di Cameron Highlands.

“Kita dah beritahu lama dah bukan kata hari ini kita nak ambil tindakan, hari ini terus kita pergi buat tindakan penguatkuasaan, bukan,” katanya.

Terdahulu ada dakwaan mengatakan tindakan diambil untuk menutup periuk nasi ke atas perniagaan yang dijalankan kerana pemilik kafe tersebut lantang mengkritik aktiviti kerajaan negeri. – MalaysiaGazette