Pengerusi Kluster Makanan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bercakap pada media selepas tinjauan harga dan stok beras tempatan ketika di Hypermarket Giant, Kemuning Utama, Shah Alam. Foto SYADILA AMARI, 31 MAC 2024.

SHAH ALAM – Beras Putih Tempatan (BPT) masih tiada di pasaran meskipun Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) sudah membuat keputusan bagi mengatasi masalah kekurangan makanan ruji itu, 25 Mac lalu.

Ketua Pasukan Petugas Pemantauan Kluster Makanan, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, rakyat masih menunggu bekalan 14 juta kampit BPT seperti mana yang dijanjikan sebelum ini.

“Pada 22 Mac, Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood memberi jaminan ketika ditemubual dalam slot Selamat Pagi Malaysia bahawa 14 juta kampit beras akan berada pasaran pada bila-bila masa.

“Tetapi kita dapat lihat dari 105 lokasi yang ditinjau, hanya ada 5 lokasi sahaja yang menjual BPT, itu pun dalam jumlah yang sangat sedikit, tak sampai 5 peratus.

“Saya meminta Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras bertanggungjawab untuk bekalan BPT dengan harga RM26 sampai ke semua pasaraya,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau membuat pemeriksaan mengejut di tiga pasaraya terkemuka Parlimen Kota Jaja, di sini, bagi meninjau bekalan BPT di pasaran.

Sebelum ini Mesyuarat NACCOL Bil 1/2024 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan empat perkara untuk mengatasi isu kekurangan beras di pasaran.

Antara tindakan itu ialah kerajaan mengarahkan semua stok semasa padi dan beras yang telah dibeli oleh pengilang berjumlah 140,000 tan metrik diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan dengan serta-merta.

Beliau turut menggesa Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras melaksanakan arahan Perdana Menteri tanpa berlengah.

“Malangnya sistem penyampaian ini gagal, Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras gagal untuk menjalankan keputusan Perdana Menteri itu,” katanya.

Katanya, jika masih di takuk lama, Ketua Pengarah terbabit perlu ditukarkan serta-merta agar rakyat tidak terus merana kerana kegagalannya.

“Saya meminta Ketua Setiusaha Negara mengambil tindakan segera ke atas Ketua Pengarah ini yang gagal melaksanakan tugas yang diamanahkan dan janji yang beliau sebut dalam mesyuarat NACCOL,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast