luqman abdullah
Luqman Abdullah - Gambar: Facebook Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR – Penggunaan istilah-istilah hukum-hakam agama tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya untuk tujuan kepentingan tertentu yang tidak berasaskan kepada asas ilmu Islam yang sebenar.

Oleh itu, semua pihak perlu berhati-hati dan tidak mudah mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham masyarakat dan membuka ruang fitnah, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah.

Dalam kenyataan, beliau berkata, gelaran kafir merupakan kalimah dalam bahasa Arab dan banyak kali disebut dalam al-Quran dan hadis dengan pelbagai pecahan.

Ia adalah merujuk kepada orang yang tidak beriman kepada Allah SWT dan rasul.

Jelasnya,  penggunaan istilah ini telah termaktub dalam al-Quran dan hadis. Ia adalah istilah yang melambangkan perbezaan antara iman dan kekufuran dan ia tidak berubah penggunaannya.

“Walau bagaimanapun, penggunaan dalam konteks interaksi antara orang Islam dan bukan Islam boleh berubah mengikut keadaan, tempat dan situasi yang memerlukan kepada istilah yang lebih harmoni khususnya dalam uslub dakwah,” katanya.

Lantaran itu, katanya, adalah tidak adil untuk masyarakat terus menghukum dan mengeji Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berasaskan kepada potongan video tanpa melihat kepada konteks keseluruhan yang dimaksudkan dalam ucapan berkenaan.

“Merujuk kepada video yang tular, adalah tidak adil untuk terus menghukum dan mengeji berasaskan kepada potongan video tanpa melihat kepada konteks keseluruhan yang dimaksudkan dalam ucapan berkenaan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Beliau menasihatkan orang ramai agar mengambil sikap berhati-hati dan cuba mendapat maklumat yang lebih terperinci sebelum membuat sebarang komen.

Dr Luqman turut berharap agar polemik ini tidak dipanjangkan kerana ia tidak mempunyai nilai ilmiah dan adab yang baik, selain hanya menambahkan lagi kekeliruan dan boleh membawa kepada perbalahan dan perpecahan dalam masyarakat.

“Sikap sindir-menyindir, mengeluarkan kata-kata kesat, tuduh-menuduh dengan menggunakan media sosial tanpa adab tidak menguntungkan umat Islam yang sangat mementingkan perpaduan sebagai kekuatan umat.

Semalam, Fadhlina yang juga Ketua Wanita PKR menyifatkan isu kafir yang mengaitkan dirinya sebelum ini sudah selesai biarpun ia dipetik luar daripada konteks yang sepatutnya.

Kata Fadhlina, beliau mahu memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap tugasnya bagi memastikan isu-isu reformasi pendidikan yang sedang dilaksanakan berjalan lancar.

Isu ini tercetus selepas tular tular satu video yang memaparkan Fadhlina menolak penggunaan label kafir dan mengharamkan anak-anak beliau menggunakan perkataan terbabit di rumah.

Susulan penyebaran video itu, Fadhlina menerima pelbagai reaksi negatif daripada netizen sehingga keselamatan dirinya turut terancam. – MalaysiaGazette