Ibrahim menunjukkan lokasi buaya yang menjadikan Sungai Belat di kawasan Perkampungan Gudang Rasau berehat di celah pokok kayu bakau,

KUANTAN – Kemunculan dua ekor buaya Sungai Belat di Perkampungan Gudang Rasau di sini menjadi perbualan ramai selepas ia tular di media sosial ini sejak semalam.

Namun kelibat pasangan sang bedal itu sebenarnya perkara biasa dalam kalangan penduduk kampung kerana lokasi tersebut merupakan habitat reptilia itu.

Menurut suri rumah, Zulika Mohd Yunus, 56, kelibat buaya yang muncul di Sungai Belat itu perkara biasa dilihat mendiami kawasan itu lebih 50 tahun lalu.

Baginya, habitat buaya itu juga dihormati kerana ia ciptaan tuhan dan berpegang pesan orang tuanya dahulu supaya tidak menggangu kawasan buaya itu.

Malah, katanya, tiada kejadian buruk berlaku disebabkan serangan buaya di Sungai Belat sepanjang tinggal di situ.

“Memang pernah beberapa kali nampak. Kita sedar itu tempat dia buaya, jadi kita sentiasa beringat.

“Macam semalam, anak duduk dalam rumah secara tidak sengaja nampak kelibat dua ekor buaya dan muat naik dalam media sosial, untuk suka-suka itu sahaja tapi tidak sangka ia tular.

“Tapi kalau ikutkan ini benda biasa yang selalu kami tengok,” katanya.

Seorang penduduk menceritakan pengalaman melihat beberapa kelibat buaya muncul kelmarin.

Bagi Atih Yusof, 27,  kemunculan sang bedal itu muncul secara depan-depan merupakan rezeki tak diduga.

Tambahnya, beliau tidak pernah melihat buaya naik ke darat di sekitar rumah mereka walaupun ketika musim banjir dan air naik.

“Biasa hanya tengok buaya berada di dalam air. Rezeki dapat tengok dua buaya ini, tapi kita tidak usik dia (buaya) sebab itu memang habitat dia,” katanya.

Manakala Abdul Rahim Yunus, 60,  sudah tinggal berpuluh tahun tinggal di kawasan itu serta pernah mandi sungai walaupun sudah lama mengetahui Sungai Belat antara tempat asal reptilia itu.

Menyedari kemunculan haiwan itu, mereka tidak pernah mengganggu haiwan berkenaan berkenaan setiap kali muncul di permukaan air dan hanya melihat haiwan itu healing sambil memberi signal.

“Bila kita tahu kawasan dia (buaya), selalu lalu (berenang) dalam sungai ini, tapi setakat ini tidak pernah kacau orang.

“Kadangkala dia tenggelam timbul, untuk memberitahu kita dia berada di kawasan ini, ” katanya.

Beliau turut memberi nasihat pantang larang ketika bertemu sang bedal kepada masyarakat umumnya.

Katanya paling penting menjaga tutur bicara di hadapan buaya kerana haiwan itu merupakan reptilia sensitif.

“Boleh kata, kita sudah kalis (biasa) dan tidak takut pun tengok dia (buaya). Tapi (paling penting) kita kena jaga mulut.

“Jangan celupar kata hendak tangkap atau katok (pukul). Kalau celupar dia mari, sebab dia pun macam kita manusia, boleh tahu,” ujarnya.

Lebih mengujakan, semasa Tinjauan MalaysiaGazette, kelibat seekor buaya berkenaan muncul di celahan pokok paya bakau di kawasan tersebut.

Buaya berwarna hitam tersebut dilihat memunculkan sedikit kepalanya selama beberapa minit sebelum menenggelamkan badannya yang sebesar sama saiz bot fiber.

Manakala pada tahun lalu, MalaysiaGazette pernah melaporkan kewujudan habitat haiwan itu dan kemunculan buaya di Perkampungan Cenderawasih.

Terdahulu pada semalam video kelibat beberapa ekor buaya dilihat di Sungai Belat dan dirakam oleh sekeluarga di kawasan Perkampungan Gudang Rasau berdurasi 35 saat mendapat pelbagai reaksi netizen.

Ia susulan gelagat keluarga perakam teruja melihat kelibat buaya sambil merakam video.

“Diamlah tengah rakam ini, sabarlah makwe-pakwe buaya sedang lalu,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Buaya santai tepi parit Cenderawasih

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast