Aliff Syukri mendakwa beliau tidak mengeluarkan lagu raya tahun ini.

KUALA LUMPUR – Selepas teruk dikecam dan berhadapan dengan boikot Datuk Seri Aliff Syukri tampil mendakwa teaser muzik video hari raya yang dikongsi sebelum ini hanyalah ‘April fools‘.

Dalam satu hantaran hari ini, usahawan sensasi itu berkata, beliau tidak mengeluarkan sebarang muzik video dan lagu raya tahun ini.

“Kepada anda semua yang menunggu lagu raya saya, sebenarnya lagu raya tahun ini tidak ada pun. Saya saja sakat kau orang semua.

“Kepada mak dan isteri saya jangan marah, ya. Kepada kau orang semua ‘April fools’. Selamat menyambut hari raya,” katanya dalam klip video berdurasi 20 saat.

Pada kapsyen perkongsian klip video tersebut, Allif Syukri berkata, dia hanya menyakat rakyat Malaysia dan berharap mereka tidak terlalu serius dan hidup dengan penuh riang.

Semalam, Aliff Syukri memadam teaser muzik video selepas ditegur oleh ibunya.

Aliff atau nama sebenar Aliff Syukri Kamarzaman, 36, yang berkecil hati dengan kecaman diterima berkata, beliau sudah mengeluarkan kos yang besar untuk menghasilkan lagu dan MV berkenaan.

“Kepada mak saya (Rozita) dan semua netizen yang melihat video saya tu, saya minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki.

“Memang saya kecil hati sebab saya dah bersusah payah siap keluarkan modal puluhan ribu ringgit untuk penari, juruvideo.

“Tapi netizen tak tengok lagi dah kecam melampau-lampau dan itu menyebabkan saya sedih,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram pada Isnin.

Aliff memberitahu beliau juga mengambil keputusan memadam video berkenaan daripada media sosial miliknya.

“Saya tak nak bersedih atau marah. Saya salahkan diri sendiri

“Saya dah padam video itu. Padahal orang kat luar lagi banyak buat benda pelik-pelik,” ujarnya.

Aliff Syukri berhadapan dengan pemulauan selepas sekali lagi menimbulkan kontroversi memaparkan aksi lelaki menari menggeletis dalam teaser muzik video hari raya.

Terbaharu Ketua Pemuda UMNO Dr. Muhammad Akmal Saleh menyifatkan klip video yang dikeluarkan sebagai tidak menghormati bulan Ramadan dan menggesa rakyat untuk memulau produk Aliff Syukri.- MalaysiaGazette