Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Nik Yusaimi Yussof pada sidang media berkenaan rampasan 26,213 naskhah al-Quran serta bahan bacaan ayat suci al-Quran bernilai RM3.1 juta menerusi Ops Mulia di Bangunan KDN, Putrajaya. Foto MALAYSIA GAZETTE, 03 APRIL 2024.

PUTRAJAYA – Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyita pelbagai item al-Quran tiada perakuan bernilai lebih RM3 juta, bulan lalu.

Setiausahanya, Nik Yusaimi Yussof berkata, kejayaan itu dicapai menerusi Ops Mulia yang dilancarkan pihaknya sepanjang Mac lepas bersempena bulan Ramadan.

“Bermula 1 Mac sehingga akhir bulan lalu, kami menjalankan pemeriksaan agresif ke atas 1,082 buah premis di seluruh negara,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi berkenaan dilakukan susulan risikan awal bahagian itu yang mendapati ada trend permintaan tinggi masyarakat Islam terhadap al-Quran bersempena bulan puasa.

Hasil operasi itu jelasnya, sejumlah 6,992 naskhah tanpa perakuan KDN dirampas dan 12,767 bahan al-Quran disita dengan nilai keseluruhan yang dianggarkan RM2.8 juta.

Seramai 164 individu yang diperiksa di premis terbabit turut ditahan untuk siasatan dan mereka boleh didakwa mengikut Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 (Pindaan 2023).

Sekiranya disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

“Pada masa sama, pihak kami turut melaksanakan program advokasi iaitu Jom Exchange Al-Quran (JEQ) menyaksikan penyerahan sukarela sejumlah 6,484 naskhah,” ujarnya.

Aktiviti selama sebulan berkenaan tambah Nik Yusaimi, telah menerima sambutan baik pelbagai pihak kerana al-Quran tiada perakuan yang ditukarkan itu bernilai RM260,000.

Secara keseluruhan, katanya, sepanjang Mac lalu, KDN berjaya menarik keluar sebanyak 26,213 unit termasuklah item bingkai khat al-Quran dengan nilai berjumlah RM3.1 juta.

Antara kes menarik perhatian beliau yang berjaya dicapai menerusi Ops Mulia itu ialah rampasan sejumlah naskhah al-Quran di Seri Kembangan, Selangor pada 7 Mac lalu.

Material berkenaan jelasnya, setelah disemak secara terperinci kemudian didapati telah dijilidkan oleh pekerja bukan Muslim yang memang satu kesalahan serius di bawah akta.

“Tidak ketinggalan pelbagai naskhah al-Quran dengan harga premium mencecah RM599 bagi pasaran Semenanjung Malaysia serta RM699 di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau turut menunjukkan satu bingkai kaligrafi al-Quran yang dikesan pihaknya ada kesilapan dengan harga paling mahal pernah dirampas bahagian tersebut iaitu RM5,290.

Nik Yusaimi memberi amaran bahawa KDN bersedia mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang terlibat dan menasihatkan masyarakat agar tidak terjebak.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang mempunyai atau mengetahui kes sedemikian supaya menyalurkan maklumat kepada KDN menerusi talian 03-80008000 atau laman sesawang www.moha.gov.my. – MalaysiaGazette