Tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita, bulan lalu.

MELAKA – Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita, bulan lalu.

Tertuduh, Tri Sutrisno Sular, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Hakim bagaimanapun menangguhkan kes pada 17 Mei depan untuk fakta dan hukuman selepas dipohon Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syazwanie Marizan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh bersama-sama seorang yang masih bebas dituduh melakukan samun berkumpulan terhadap seorang wanita berusia 51 tahun dengan bersenjatakan sebilah pisau sehingga menyebabkannya kerugian RM25,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat beralamat Jalan Seri Hilir 2, Taman Seri Hilir, Batang Melaka, dalam daerah Jasin kira-kira pukul 9.15 pagi 19 Mac lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette