Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia jatuh 2.97 peratus kepada AS$104.7 bilion setakat 29 Jun lalu berbanding AS$107.9 bilion pada 14 Jun.
Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Kesan keseluruhan ke atas inflasi negara akan bergantung pada magnitud dan pengaturan masa pelarasan harga bahan api serta langkah-langkah sokongan seperti pindahan wang tunai bersasar.

Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan inflasi keseluruhan akan berpurata antara 2% hingga 3.5% pada tahun 2024.

Julat unjuran yang lebih luas mengambil kira beberapa kesan inflasi semakin tinggi berikutan pelaksanaan rasionalisasi subsidi

Menurutnya, bagi tempoh jangka pendek, rasionalisasi subsidi boleh memberikan kesan pada penggunaan swasta.

Walau bagaimanapun, hal ini sebahagiannya akan dikurangkan oleh bantuan bersasar daripada kerajaan.

Pendekatan yang lebih bersasar untuk subsidi bahan api adalah sangat penting untuk membantu mengurangkan kesan kos sara hidup ke atas rakyat.

Menurutnya, pendekatan ini bukan sahaja memastikan bantuan disediakan kepada mereka yang memerlukan, malah penjimatan kos daripada rasionalisasi subsidi bahan api ini akan mewujudkan ruang fiskal yang sangat diperlukan untuk pelaburan penting bagi inisiatif kesihatan, pendidikan dan infrastruktur awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pertumbuhan dan inflasi negara antara isu yang dibincangkan oleh BNM dalam beberapa sesi libat urus yang dianjurkannya dengan pelbagai pihak berkepentingan sejak 20 Mac 2024 sempena penerbitan Laporan Tahunan 2023, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 dan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2023.

Libat urus ini bertujuan untuk membuat perkongsian mengenai penilaian BNM berhubung dengan ekonomi dan sektor kewangan Malaysia serta mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan BNM.

Untuk tahun ini, BNM mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang antara 4% hingga 5% pada tahun 2024, disokong oleh perbelanjaan dalam negeri yang meningkat dan pemulihan eksport.

Prospek pertumbuhan ini, katanya, disokong oleh pihak penganalisis seperti yang dicerminkan dalam unjuran pertumbuhan dan penilaian masing-masing.

Jelasnya, dasar monetari akan terus berpandangan ke hadapan dan berdasarkan maklumat penilaian Jawatankuasa Dasar Monetari mengenai prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

Katanya, trajektori pertumbuhan yang positif dan inflasi yang sederhana pada tahun ini membuka peluang bagi pelaksanaan pembaharuan struktur. – MalaysiaGazette