MELAKA – Seorang penganggur maut selepas motosikal ditunggang terbabas dan melanggar dua batang pokok di Jalan Mufti Hj Khalil, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, G. Thineshwaran, 21, yang sedang dalam pejalanan dari arah Ayer Keroh menuju pusat bandar meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Chistopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca apabila motosikal jenis Sym ditunggang mangsa terbabas dan melanggar dua batang pokok.
“Akibatnya mangsa mengalami pendarahan di kepala sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi.
“Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka serta Pol 61 telah diserahkan untuk menjalankan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette