MBPP akan mengenakan kompaun terhadap pemberi sisa makanan kepada burung merpati dan mereka yang membuang sama di tempat awam.

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengeluarkan 98 kompaun  terhadap mereka yang membuang sampah merata-rata termasuk memberi sisa makanan kepada burung merpati.

Pegawai Tadbir Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, Hashim Johan berkata, tindakan penguatkuasaan itu dilakukan mengikut Seksyen 47(1)(g) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

Jelas beliau, mengikut statistik, sebanyak 92 kompaun dikenakan terhadap mereka yang membuang sampah di tempat awam manakala enam membabitkan membuang sisa makanan kepada burung merpati.

“Itu jumlah kompaun yang kita keluarkan dalam tempoh tiga bulan sehingga Mac lalu dan kompaun tertinggi direkodkan pada bulan Februari iaitu sebanyak 65.

“Antara lokasi tumpuan yang kerap menjadi ‘sasaran’ orang awam membuang sampah sesuka hati termasuk Komtar, Gurney Bay, Padang Kota Lama, Persiaran Karpal Singh, Jalan Gudwara, sekitar Queensbay Mall, Bukit Jambul, dan bawah Jambatan Kedua Pulau Pinang berhampiran Batu Maung,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

MBPP terpaksa membelanjakan kos tambahan untuk mencuci tempat awam seperti siar kaki yang penuh dengan najis burung.

Mengulas mengenai alasan mereka yang membuang sampah di tempat awam, Hashim berkata, ramai memberi alasan tong sampah jauh daripada lokasi selain beranggapan pembuangan sesuka hati itu bukan satu kesalahan.

“Bagi pembuang sisa makanan kepada burung merpati pula, mereka beranggapan bersifat baik hati namun sebenarnya tindakan tersebut menjejaskan tahap kebersihan dan kesihatan awam.

“Malah, tindakan mereka menyebabkan MBPP terpaksa membelanjakan kos tambahan untuk mencuci tempat awam seperti siar kaki yang penuh dengan najis burung yang bersifat asidik dan menghakis serta boleh menjejaskan kesihatan manusia dan merosakaan harta awam.

“Sehubungan itu, kita banyak memberi kesedaran mengenai kesalahan ini kepada orang ramai menerusi semua platform media sosial MBPP agar tiada lagi tindakan membuang sampah sebarangan,” katanya. – MalaysiaGazette