Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

SHAH ALAM – Polis sudah mengenal pasti identiti seorang lelaki yang membawa keluar sebuah bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 dari sebuah apartment berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah memanggil individu tersebut dan merakamkan keterangan.

“Polis sudah menjumpai nak kata pemilik yang membawa beg tersebut dari apartmen dari CCTV dan keterangan lain. Hanya seorang individu yang dikenal pasti dalam rakaman CCTV.

“Kita perlu panggil saksi lain untuk mengukuhkan keterangan dia untuk mengesahkan dia yang bawa bagasi itu dan sebagainya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hussein Omar Khan melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 & Majlis Berbuka Puasa Ketua Polis Selangor bersama Petugas-petugas PDRM & Konsesi Lebuhraya di Kawasan Rehat Elmina (Arah Utara), Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 06 APRIL 2024.

Terdahulu beliau merasmikan kempen keselamatan jalan raya, Ops Selamat 2024 di kawasan Rehat Elmina Lebuhraya Guthrie Corridor Expressway (GCE) Arah Utara.

Pada 20 Mac lalu, seorang pengawal keselamatan menemui sebuah bagasi berisi wang tunai sebanyak RM500,000 yang ditinggalkan di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Damansara.

Menurut Hussein, pihaknya sedang mengesan tujuh individu yang mana cap jari mereka ditemukan daripada beg bagasi tersebut.

“Kita juga memperolehi sebanyak tujuh cap jari yang ditimbulkan daripada beg bagasi tersebut,” katanya.

Selain itu, polis akan memanggil saksi lain untuk mengukuhkan keterangan individu yang datang menuntut beg bagasi dan wang tersebut

“Setelah polis berpuas hati, pemilikan sebenar mereka yang datang tuntut ini, dan sumber kewangan ini kemudian barulah beg yang mengandungi wang tersebut akan dikembalikan kepada pemilik tersebut,” katanya.

Ditanya tentang alasan beg bagasi itu ditinggalkan semalam di pusat beli belah tersebut, Hussein bagaimanapun berkata, polis masih menyiasat perkara itu.

“Itu masih dalam siasatan polis, saya tak boleh dedah semua benda ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast