MELAKA – Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini diarah melancarkan Ops Tangan Sampah khususnya untuk mengesan pemandu yang membuang sampah sesuka hati dari kenderaan sempena Hari Raya Aidilfitri ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, tindakan kompaun antara RM250 hingga RM500 itu boleh diambil di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
Menurutnya, ia juga bagi menyahut saranan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming kelmarin yang meminta semua agensi di bawahnya termasuk PBT bertindak tegas terhadap pihak yang sengaja membuang sampah merata-rata dalam musim perayaan Aidilfitri ini.
“Saya minta semua PBT di Melaka lancarkan Ops Tangan Sampah yang mana sebenarnya kita dah ada tindakan boleh diambil di bawah Akta 133.
“Kompaun antara RM250 hingga RM500 ini bukan sahaja terpakai untuk kesalahan buang sampah keluar dari kenderaan tapi di mana sahaja supaya Melaka tidak dicemari sampah khususnya ketika musim Aidilfitri ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 150 penerima di DUN Paya Rumput di Tanjung Minyak di sini hari ini.
Kelmarin, Kor Ming berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku yang membuang sampah sesuka hati sama ada dari kenderaan atau meninggalkannya ketika berhenti berehat.
Terdahulu, tular di media sosial gambar sampah sarap yang dibuang pengguna jalan raya di bahu jalan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang bermula dari Bentong ke Lipis dan Gua Musang.
Mengulas lanjut, Rais berkata, orang ramai turut dialu-alukan membantu menjadi ‘mata dan telinga’ PBT dengan menyalurkan gambar serta maklumat kesalahan dilakukan melalui pelbagai platfom media sosial semua empat PBT di negeri ini.
“Tak perlu lagi telefon kerana di zaman teknologi maklumat ini aduan boleh dikemukakan melalui laman sosial semua PBT dan saya akan minta mereka untuk ambil tindakan segera.
“Tindakan tegas akan diambil walaupun ketika musim cuti Aidilfitri, setiap PBT mempunyai penguat kuasa yang ditempatkan di mana-mana sahaja untuk mengesan kesalahan dilakukan,” katanya – MalaysiaGazette