MELAKA – “Saya betul-betul tak sangka dengan hanya beli baju raya untuk emak dan ayah membuatkan saya menang sebuah Perodua Axia.”
Itu pengakuan seorang ejen insurans, Norshaidatul Akma Borhan, 37, selepas diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah Glam Bazar Ramadan Klebang (Glam) sekali gus membawa pulang hadiah utama kereta kompak itu bernilai hampir RM21,000.
Menurutnya, selama ini dia tidak pernah memenangi sebarang cabutan bertuah dan tidak menyangka berjaya memenangi hadiah utama yang tidak akan dijual walaupun memiliki sebuah Proton Saga BLM.
“Minggu lepas, saya datang ke bazar ini untuk beli baju raya sendiri serta untuk mak dan ayah sebelum diberikan beberapa keping kupon cabutan bertuah.
“Mulanya malas nak isi butiran diri tapi atas desakan rakan saya isi tanpa mengharap untuk menang kereta atau motosikal yang ditawarkan sebagai hadiah,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah di sini malam tadi.
Hadiah disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Penganjur Glam Rashid Omar.
Sementara itu, Rashid berkata, tahun ini pihaknya menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM71,000 termasuk dua buah kereta iaitu BMW 320i terpakai dan Perodua Axia serta tiga buah motosikal.
“Tahun ini, kita merekodkan nilai jualan kira-kira RM3 juta pelbagai barangan daripada 205 peniaga selain mengedarkan 100,000 kupon cabutan bertuah.
“Bazar Glam ini akan beroperasi sehingga malam raya dengan menawarkan potongan harga lebih rendah sekali gus menjadi tarikan anak perantau yang pulang meraikan Aidilfitri,” katanya. – MalaysiaGazette