MELAKA – Seorang pekerja swasta cedera parah selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta di Jalan Bukit Rambai di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.14 malam itu, Mohammad Hazriq Mahayuddin, 26, parah di kepala dan anggota badan manakala pemandu kereta, Alisamani Muhamad, 35, cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, penungang motosikal jenis Kawasaki itu dalam perjalanan dari arah Bukit Rambai menuju Cheng.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu kereta jenis Proton Saga berkenaan yang datang dari arah bertentangan
membelok ke kanan menuju ke stesen minyak.
“Pada masa sama, motosikal terbabit datang dari arah hadapan gagal mengelak dan merempuh bahagian sisi kanan kereta menyebabkannya cedera parah di kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette